Sukan Lain

Khairul idam aksi di Olimpik Paris

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Perlu melakukan tiga perkara dalam sehari bukan penghalang buat atlet kanu negara, Khairul Naim Zainal mencapai cita-citanya untuk melayakkan diri beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Khairul Naim yang dalam persiapan ke Sukan Sea Vietnam pada Mac depan mengakui dia sudah biasa melakukan tiga perkara berkenaan iaitu menjalani latihan, belajar dan melakukan kerja sambilan sebagai penghantar makanan.

"Saya memang seorang atlet sepenuh masa namun masih lagi berada pada tahun akhir sebagai pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Pengurusan Sukan. Selain itu saya juga bekerja sambilan menjadi penghantar makanan di mana ia dilakukan ketika tamat sesi latihan pagi menunggu untuk menyambung sesi latihan petang," katanya ketika ditemui media di Majlis Pelancaran Projek Khas Persatuan Kanu Malaysia (Masca) Paris 24.

Bagi Khairul Naim perkara itu sudah menjadi rutin baginya untuk mencari pendapatan sampingan dan bukan benda baru kerana sebelum ini pernah membelanjakan wang menggunakan poket sendiri kira-kira RM60,000 untuk beraksi di Hungary (2019) dan Portugal (2021).

"Ketika di Hungary saya menyertai Kejohanan Dunia untuk beraksi dalam acara K1 namun hanya setakat peringkat saringan. Bagaimanapun untuk acara berpasangan saya berjaya memasuki saingan akhir B (kedudukan ranking). Ketika itu saya berjaya menamatkan perlumbaan di tangga kesembilan.

"Ketika di Portugal saya menyertai Kejohanan Dunia Remaja dengan berjaya memadamkan rekod lama 4 minit 0.4 saat (s) apabila melakukan 4.02s dalam acara K1 iaitu jarak perlumbaan sejauh 1 kilometer," katanya.

Ujar Khairul Naim yang menetap di Putrajaya, memang impiannya untuk beraksi di Olimpik dan disebabkan itu dia sanggup mengeluarkan duit poket sendiri serta mengharumkan generasi sukan kanu bagi zaman sekarang.

"Saya meminati sukan ini sejak berusia 13 tahun lagi, semua bermula disebabkan 'hasutan' senior di flat dekat Percint 8 yang kebanyakan mereka bermain sukan kanu," katanya.

Disebabkan Khairul Naim berada di kedudukan mampu meraih pingat dia diletakkan dalam kategori A untuk temasya Sukan Sea di Vietnam nanti.

Disiarkan pada: March 10, 2022 @ 5:59pm
d