Sukan Lain

Astaf berang sikap Abdul Halim

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Kelantangan Timbalan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Abdul Halim Suleiman baru-baru ini ternyata mengundang padah dan bakal dikenakan tindakan oleh Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf).

Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader berkata, dakwaan dilemparkan Abdul Halim yang juga presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Johor (PSNJ) itu jelas memalukan, menghina dan mencemarkan nama baik badan induk Asia berkenaan.

"Apa yang dilakukannya ketika ditemuramah sebuah stesyen televisyen, ialah membuat tuduhan bahawa kepimpinan Astaf adalah seperti boneka dalam masalah antara Astaf dan PSM.

"Dalam hali ini, saya dan rakan exco (Astaf) memandang berat atas pencemaran yang dibuat oleh seorang ketua sukan yang sepatutnya tidak melemparkan kata-kata biadab dan kesat di khalayak ramai tanpa membuat penyelidikan.

"Beliau tidak mempunyai fakta serta tidak tahu mengenai perjalanan persatuan sukan antarabangsa. Beliau sewenang-wenangnya menuduh Astaf itu adalah boneka. Astaf akan mengambil tindakan disiplin dan undang-undang kepada beliau," kata Abdul Halim.

Dalam satu klip video temuramah bersama televisyen swasta berkenaan pada 6 Mac lalu, Abdul Halim didakwa menghina Presiden Astaf serta Presiden Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf), Mejar Jeneral Dr Charouck Arirachakaran.

Menurut Abdul Halim, terdapat lima perkara dinyatakan secara jelas yang membawa maksud tuduhan tidak berasas dan berunsur penghinaan kepadanya dan Arirachakaran.

Antaranya wujud campur tangan dari Astaf dalam kemelut dihadapi PSM, tidak menghormati perjalanan pentadbiran Astaf, 'one man show atau two man show' dalam Astaf serta yang lain hanya boneka dan meminta orang luar supaya tidak masuk campur dalam urusan pentadbiran sukan tanah air. "Dengan lima perkara ini, jelas dan nyata yang diberitahu tanpa prejudis, adalah dengan niat untuk menghina dan memburukkan nama baik dan kredibiliti Astaf dan Istaf sebagai badan profesional sukan antarabangsa," kata Abdul Halim.

Disiarkan pada: March 12, 2022 @ 6:43pm
d