Sukan Lain

Abdul Halim sedia berdepan kepimpinan Astaf

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Timbalan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Abdul Halim Suleiman mempertahankan tindakannya mengkritik kepimpinan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf).

Malah tegas Abdul Halim, beliau sedia berdepan sebarang tindakan daripada badan induk itu terutama Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader demi mempertahankan perkara yang benar.

"Selama ini saya sentiasa bercakap perkara yang benar. Kalau tidak puas hati, dia (Abdul Halim) boleh saman atas kapasiti saya sebagai Timbalan Presiden (PSM).

"Apa yang saya lakukan selama ini adalah demi untuk mempertahankan hak PSM. Jadi saya memang sudah bersedia dan maklumkan kepada barisan peguam untuk bersedia sepenuhnya," katanya ketika dihubungi.

Jelas Abdul Halim, selaku badan induk antarabangsa yang sudah sekian lama wujud, kepimpinan Astaf seharusnya lebih bersikap profesional.

Tegas Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Johor (PSNJ) itu lagi, beberapa keputusan yang dilakukan Astaf mencetuskan persoalan terutama apabila badan induk itu mengiktiraf Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) sebagai ahli gabungan mereka.

"Ia berlaku selepas saja PSM membuat bayaran (kos sesi pendengaran panel disiplin bernilai AS$15,000 atau RM62,900) kepada Astaf. Adakah itu keputusan yang realistik?," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Halim Kader yang mahu mengambil tindakan terhadapnya kerana memalukan, menghina dan mencemarkan nama baik badan induk Asia berkenaan.

Dalam satu klip video temuramah bersama televisyen swasta berkenaan pada 6 Mac lalu, Abdul Halim didakwa menghina Presiden Astaf serta Presiden Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf), Mejar Jeneral Dr Charouck Arirachakaran.

Beliau didakwa menuduh kepimpinan Astaf adalah seperti boneka dalam masalah antara Astaf dan PSM.

Disiarkan pada: March 13, 2022 @ 7:26pm
d