Sukan Lain

Cindy sokong perjuangan Palestin

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Bekas perenang negara, Cindy Ong mengadakan pertemuan dengan Duta Palestin, Walid Abu Ali di Kedutaan Palestin bagi menunjukkan sokongan dan solidariti terhadap rakyat Palestin.

Menerusi satu kenyataan mewakilinya, Cindy turut berasa terkesan dengan apa yang berlaku di Palestin sejak hampir tujuh dekad lalu sehingga mengorbankan lebih ribuan nyawa sehingga hari ini.

"Beliau juga akan melancarkan tabung bantuan untuk rakyat Palestin supaya dapat membantu mereka yang terkesan. Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kedutaan Palestin yang sudi menerima kehadirannya supaya dapat memberi bantuan secara terus kepada mereka.

"Beliau mengharapkan bantuan ini dapat meringankan beban mereka. Walau apa jua perbezaan kita, isu kemanusiaan adalah isu yang merentasi perbezaan agama, negara dan bangsa," kata kenyataan itu.

Cindy yang kini beraksi dalam kategori Masters, sebelum ini pernah mendedahkan pengalaman lalu apabila dia menerima gangguan seksual selama bertahun-tahun daripada jurulatih negara ketika bergelar perenang negara.

Pendedahannya itu mendapat perhatian bekas Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil tindakan segera terhadap gangguan seksual yang berlaku khasnya terhadap atlet wanita negara.

Disiarkan pada: March 15, 2022 @ 2:18pm
d