Sukan Lain

MSL pentas cungkil bakat baharu

Oleh Syazwan Msar

Shah Alam: Semua berpeluang menjadi juara apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melancarkan Liga Sukan Malaysia (MSL) dalam usaha menggalakkan orang ramai menyertai sukan di peringkat daerah.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata, menerusi pelancaran MSL akan menyaksikan lebih 140,000 orang menyertai program bermula di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan sekali gus berpotensi untuk mengumpulkan bakat-bakat baharu.

"Salah satu daripada keutamaan yang akan diberikan KBS adalah pembangunan bakat baharu. Ia adalah pelaburan masa depan bagi memastikan Malaysia tidak kekeringan penyambung legasi arena sukan negara.

"Untuk mencari bakat berkenaan, semua pihak perlu menggembleng tenaga secara proaktif. Dengan populasi lebih kurang 33 juta orang, saya percaya Malaysia tidak ketandusan permata baharu.

"Maka, usaha berkenaan akan digerakkan melalui pelaksanaan MSL yang bertujuan membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi gerakan gaya hidup aktif dan sihat di samping mencari bakat baharu," pada sidang media selepas Majlis Pelancaran MSL di Kompleks Sukan Shah Alam, sebentar tadi.

Beliau, berkata untuk itu, KBS menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) akan mengaktifkan 15 Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBS negeri) dan 122 Pejabat Belia dan Sukan Daerah di seluruh negara dengan sokongan badan sukan setempat yang berdaftar di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) bagi orang ramai mendaftar dan mendapatkan maklumat lanjut.

Mengikut rekod, MSL yang akan bermula esok membabitkan lima jenis sukan iaitu futsal, bola jaring, badminton, sepak takraw dan bola keranjang.

Disiarkan pada: March 18, 2022 @ 6:52pm
d