Sukan Lain

Azizulhasni, Cheong Min Olahragawan, Olahragawati Kebangsaan 2019/2020

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dinobatkan Olahragawan Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Kebangsaan (ASN) 2019 & 2020 di sini sebentar tadi sekali gus mengulangi pencapaian 2009, 2010 dan 2017.

Azizulhasni membawa pulang trofi dan wang tunai RM20,000 manakala bagi kategori olahragawati diraih atlet wushu wanita negara, Tan Cheong Min yang turut meraih hadiah wang tunai dengan nilai sama.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu berjaya mengetepikan calon lain, Syarul Azman Mahen Abdullah (bina badan), Khairul Anuar Mohamad (memanah), Tan Chye Chern (tenpin boling) dan Wong Weng Son (wushu). Antara pencapaian Azizulhasni ialah meraih dua gangsa di Kejohanan Dunia di Berlin pada 2020 dalam acara pecut dan keirin, serta emas Kejohanan Berbasikal Asia dalam acara pecut di Jakarta 2019.

Di kejohanan sama pada 2020 dia berjaya menyambar satu emas (pecut) dan satu perak (keirin).

Sementara itu, Cheong Min berjaya menewaskan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong, Siti Zalina Ahmad (boling padang), Sin Li Jane (tenpin boling) dan Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik).

Cheong Min berjaya membawa pulang satu emas (Nandao) dan satu perak (Nanquan) di Kejohanan Wushu Dunia Ke-15 di Shanghai, China 2019. Sementara itu, Olahragawan Paralimpik Kebangsaan diraih atlet para memanah, S Suresh manakala skuad tenpin boling lelaki yang terdiri daripada Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Fishol dan Muhammad Syafiq Ridhwan Abdul Malek meraih Anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan.

Pandelela bagaimanapun berjaya meraih Anugerah Pasukan Wanita Kebangsaan bersama Datuk Leong Mun Yee selepas berganding bersama dalam acara terjun seirama wanita.

Jurulatih para memanah, Marzuki Zakaria meraih Anugerah Jurulatih Lelaki Kebangsaan dan Anugerah Jurulatih Wanita Kebangsaan diraih Nor Hashimah Ismail bagi sukan boling padang.

Anugerah Kepimpinan Sukan diberikan kepada bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Allahyarham Datuk Seri Zolkples Embong, Datuk S Vegiyathuman (Kesatuan Olahraga Malaysia) dan Kamaruzaman Kadir (Persatuan Powelifting Para Malaysia) Anugerah Khas diberikan kepada Persatuan Hoki Negeri Perak (Piala Sultan Azlan Shah), Sekolah Kebangsaan Lemoi, Cameron Highlands, Pahang dan Kelab Penyokong Malaysia Famemas.

Majlis anugerah turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Disiarkan pada: March 22, 2022 @ 11:01pm
d