Sukan Lain

Wai Ching cari penaja baharu

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Pelari menara profesional negara Soh Wai Ching akan menyertai empat pertandingan larian menara bermula di Dallas, Amerika Syarikat awal pagi esok namun dia menerima berita memilukan apabila kehilangan penaja utamanya Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pelari berusia 27 tahun itu, yang mengharumkan nama Malaysia apabila menjuarai pertandingan berprestij Empire State Building Run-Up (ESBRU) tahun lalu, akan menyertai pertandingan Big Climb Dallas (Bank of America Tower), Big Climb Seattle (Columbia Center Seattle) pada awal pagi Isnin, diikuti Big Climb Houston (Three Allen Center, 333 Clay St) pada 2 April dan Fight For Air Climb San Francisco (555 California St San Francisco) pada 9 April.

"Dua belas hari selepas pulang dari Chicago, AS, saya menjalani 12 hari latihan yang mantap di Dubai namun kini saya akan menuju kembali ke AS bagi pertandingan larian menara. Empat pertandingan di empat negeri, lapan penerbangan dalam tempoh 15 hari," tulisnya dalam perkongsian di laman sosial.

Bagaimanapun pada minggu pertama Wai Ching pulang dari AS, dia menerima berita buruk yang tidak disangka-sangkanya.

"Saya kehilangan penaja utama selepas hampir empat bulan menunggu. Saya tetap bersyukur kerana sokongan mereka sejak Oktober 2019 hingga hujung 2021.

"Tanpa tajaan mereka, ia pasti sukar buat saya untuk meneruskan karier sebagai atlet profesional dan meraih banyak kejayaan setakat ini.

"Saya mengucapkan terima kasih terutama kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan bekas Pengurus Komunikasi Korporat Datuk Omar Sidek.

"Terima kasih kerana melihat potensi dalam diri saya dan percaya dengan keupayaan saya," katanya.

Wai Ching, yang memenangi 15 pertandingan larian menara berturut-turut sejak Disember 2019, kini berharap untuk mendapat penaja baharu tidak kira sama ada jenama antarabangsa atau tempatan.

Bagi memenuhi impian itu, dia mahu membuktikan keupayaannya dengan cuba mengungguli semua empat pertandingan di AS dalam tempoh dua minggu ini selain berusaha memecahkan rekod lapangan.

Dia turut mendedahkan, beberapa warga Malaysia di Dubai dan AS banyak membantunya malah warga Malaysia di AS, Darren Chong dan Hong Seng sedia menaja tiket penerbangan domestiknya dari Houston ke Los Angeles sebelum LA ke San Francisco bagi pertandingan terakhirnya pada 9 April.

Wai Ching juga berazam untuk mempertahankan kejuaraan ESBRU yang dimenanginya tahun lalu pada 17 Mei depan di New York namun sebelum itu, dia amat berharap untuk mempunyai penaja utama.

Kepada mana-mana syarikat yang berminat untuk menjadi penajanya, mereka boleh menghubungi pelari itu menerusi e-mel waiching_soh0928@hotmail.com atau dua akaun media sosial @mastowerrunner di Instagram dan Soh Wai Ching - Athlete di Facebook.

Disiarkan pada: March 26, 2022 @ 1:55pm
d