Sukan Lain

Ahmad Faizal nasihat KOM

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi peringatan kepada semua kepimpinan persatuan sukan supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan bagi mengelak timbulnya spekulasi negatif terutama membabitkan pemilihan atlet ke Sukan Sea Vietnam, Mei ini.

Ia berdasarkan isu yang bertiup kencang ketika ini membabitkan atlet olahraga dalam membentuk kuartet 4x100 meter (m) wanita ke temasya dwi tahunan di Hanoi yang menimbulkan rasa tidak puas hati pihak tertentu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau tidak mempunyai niat dengan urusan pemilihan atlet diputuskan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Katanya, beliau mengikuti rapat isu dibangkitkan dan terpanggil untuk mengingatkan pentadbir sukan terhadap tanggungjawab memilih atlet terbaik yang dimiliki bagi membawa cabaran negara di pentas antarabangsa.

"Berdasarkan situasi terkini, ada empat pelari pecut wanita yang berjaya menghasilkan catatan di bawah 12 saat dalam acara 100 meter dan selayaknya dipilih untuk membentuk gandingan kuartet 4x100 meter ke Vietnam.

"Zaidatul Husniah Zulkifli mencatat 11.62 saat, diikuti Nor Sarah Adi (11.89s), Azreen Nabila Alias (11.90s) serta Fatin Ilyana Mat Nayan dengan catatan 11.97 saat. Seharusnya prestasi terbaik pada masa kini menjadi ukuran utama untuk pemilihan atlet ini ke Sukan Sea nanti," katanya.

Beliau berkata, setiap pemilihan atlet perlulah bersandarkan kepada merit pencapaian mereka bagi mengelak timbul persoalan daripada pihak lain.

"Saya memahami bahawa untuk penyertaan atlet di bawah kategori B ke Sukan Sea, persatuan sukan kebangsaan mempunyai kata pemutus siapa atlet yang mereka pilih. Namun kita tidak sepatutnya lari daripada prinsip pemilihan harus bersandarkan kepada merit pencapaian.

"Sekiranya persatuan sukan kebangsaan mempunyai strategi tertentu di sebalik pemilihan seseorang atlet, ia patut diperjelaskan kepada atlet dan umum untuk mengelak daripada salah faham dan timbulnya pelbagai spekulasi tidak enak.

"Saya berharap KOM dan semua persatuan sukan kebangsaan memperhalusi semua aspek ini dan mengambil keputusan terbaik demi kejayaan kontinjen Malaysia," katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2022 @ 4:53pm
d