Sukan Lain

Rachel, Geanie berpeluang cerah raih pingat esok

Oleh Ferzalfie Fauzi

Hanoi: Atlet gimastik artistik wanita negara, Rachel Yeoh dan Geanie Ng berpeluang cerah untuk meraih pingat esok selepas memberikan persembahan mantap dalam acara all-around Sukan Sea Hanoi yang berlangsung hari ini di Pusat Gimnasium Quan Ngua.

Menurut gimnastik negara, Ng Shu Wai yang optimis pingat pertama buat kem gimnastik negara mampu diraih terutama melalui Rachel dalam acara palang tidak sejajar.

Beliau berkata, Geanie yang kali pertama beraksi di temasya dwitahunan edisi ke-31 itu turut memberikan persembahan mencapai prestasi seperti diharapkan jurulatih.

"Hari ini persembahan Rachel dan Geanie mencapai apa yang kita harapkan dan kita boleh nampak mereka nak buat sesuatu yang mampu membanggakan.

"Rachel nampak dia memang nak sesuatu yang lebih baik. Prestasi memang bagus dan markah memang apa yang kita jangka. Saya harap esok mereka mampu meningkatkan lagi prestasi.

"Kita mungkin akan kekal rutin atau menambah rutin dan 'difficulty' bergantung kepada apa yang dilakukan pasukan lawan bagi memburu pingat. Pemburuan pingat berdepan sedikit kesukaran kerana Filipina menyenaraikan atlet daripada Amerika Syarikat (AS) tapi kita akan tetap memberi tentangan sengit," katanya.

Shu Wai berkata, mungkin sebelum ini pada dua temasya dwitahunan berkenaan di Singapura dan Manila, emas dihadiahkan Farah Ann Abdul Hadi namun ketiadaan ratu gimnastik negara itu jelas dirasai kem negara, selain Filipina menyenaraikan empat atlet 'naturalisasi' AS untuk mewakili negara itu sekali gus memberi cabaran besar buat Malaysia.

Empat pingat emas akan ditawarkan di Pusat Gimnasium Quan Ngua dengan melibatkan tiga untuk kategori lelaki dan satu bagi wanita.

Rachel yang akan turun dalam acara palang tidak sejajar bersedia sepenuhnya untuk mengekalkan emas yang dimenangi Farah pada edisi lalu.

Pada edisi 2019, Rachel meraih gangsa dalam acara berkenaan, manakala perak dimenangi atlet Vietnam, Do Thi Ngoc Huong dan emas diraih Farah .

Disiarkan pada: May 14, 2022 @ 5:19pm
d