Sukan Lain

MABA tunggu 'lampu hijau' untuk khidmat naturalisasi

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Selepas melihat negara lain mendapat impak positif di atas penggunaan pemain naturalisasi, Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba) juga dalam fasa permulaan untuk berbuat demikian bagi menghadapi saingan Sukan Sea Kemboja tahun depan.

Menurut presidennya, Datuk Seri Lee Tian Hock, mereka sekarang ini sedang mengenal pasti beberapa pemain naturalisasi untuk memperkuatkan skuad lelaki dan wanita negara dan menunggu kelulusan pihak kerajaan.

"Jika perkara ini mendapat kelulusan kerajaan, skuad negara mampu melakar pencapaian yang lebih baik berbanding Sukan Sea Hanoi. Kita kalah bukan disebabkan kita tidak melawan tetapi seperti semua tahu faktor saiz fizikal dalam bola keranjang adalah sangat mustahak," katanya.

Dalam temasya dwitahunan baru-baru ini skuad bola keranjang negara hanya membawa pulang satu gangsa melalui pasukan wanita.

"Beberapa negara seperti Thailand, Vietnam, Filipina dan Indonesia semuanya memiliki pemain naturalisasi yang mempunyai ketinggian lebih 6 kaki. Jadi untuk bertanding dengan mereka, kita juga perlu ada satu atau dua pemain naturalisasi dalam pasukan.

"Untuk pasukan lelaki, kita sudah ada seorang pemain dari benua Afrika yang mempunyai ketinggian 6 kaki 11 inci dan akan datang pada minggu depan.

"Dia beraksi dalam saingan bola keranjang Filipina. Kami sudah tengok dia bermain dan dari segi kemahiran tiada masalah…cuma, kami perlu melakukan ujian ke atas dirinya kerana kami tidak mahu mengambil pemain yang menghadapi masalah kecederaan.

"Untuk pasukan wanita pula, kita sedang kenal pasti. Bagaimanapun, semua ini tertakluk kepada kelulusan daripada kerajaan.

"Saya sudah berbincang dengan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang bersetuju untuk membawa perkara ini kepada kabinet," katanya.

Dalam pada yang sama, Tian Hock menegaskan pihaknya tidak akan mengabaikan tanggungjawab bagi melaksanakan program pembangunan sekali pun dengan kehadiran pemain naturalisasi dalam skuad negara.

"Saya tidak kata pemain naturalisasi adalah jawapan kepada permasalahan skuad negara ketika ini tetapi ia sebagai salah satu penyelesaian untuk kita membawa pasukan ke tahap yang lebih tinggi dalam masa terdekat.

"Fokus utama kita tetap mahu bangunkan pemain tempatan. Kita ada pemain tempatan yang mempunyai kemahiran tetapi tidak cukup dengan hanya satu atau dua pemain," katanya.

Disiarkan pada: May 29, 2022 @ 1:25pm
d