Sukan Lain

Pelumba muda kian meningkat

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Prestasi dipamerkan pelumba negara di Kejohanan Berbasikal Kebangsaan baru-baru ini menunjukkan perkembangan positif sebagai persiapan menyertai Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di New Delhi, India pada 18 hingga 22 Jun dan Sukan Komanwel Birmingham 2022 dari 28 Julai hingga 8 Ogos.

Peningkatan beberapa pelumba muda negara seperti Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Ridwan Sahrom dilihat perkembangan baik buat kem berbasikal negara. Penolong jurulatih kebangsaan, Harnizam Basri berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan kerana cabaran di Kejohanan Kebangsaan kali ini dilihat lebih sengit dengan kehadiran pelumba profesional dari Sapura Cycling Team dan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) yang menyertai kejohanan dalam acara endurance.

"Saya gembira dengan pencapaian pelumba negara terutama pelumba junior yang menunjukkan peningkatan dan mereka sudah semakin menghampiri prestasi pelumba pelapis iaitu pasukan kedua.

"Pasukan kedua juga iaitu pasukan remaja negara pula semakin mengejar kedudukan pasukan elit seperti Mohamad Shah Firdaus Sahrom dan juga Mohamad Fadhil Zonis serta Ridwan Sahrom.

"Kita juga ada prospek terbaik dalam acara wanita iaitu Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang berjaya menewaskan Anis Amira Rosdi biarpun baru dua bulan lebih menyertai skuad negara," katanya.

Mengulas mengenai prospek pengganti kepada jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang, iaitu Shah Firdaus dan Fadhil, Harnizam berkata, biarpun belum mencapai tahap terbaik, mereka berjaya mengekalkan prestasi apabila masing-masing mengungguli acara keirin dan 1 kilometer ujian masa.

''Shah dan Fadhil, mereka bukan dalam prestasi sepatutnya namun ketika ini baru di peringkat mencari kekuatan dan belum memasuki fasa pecutan. Namun berbaki sebulan sebelum ACC ini dan apabila memasuki fasa pecutan saya yakin prestasi mereka akan meningkat," katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2022 @ 9:25pm
d