Sukan Lain

Atlet cemerlang Sukma 'naik pangkat'

Oleh Syazwan Msar

Putrajaya: Temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 bakal menjadi medan terbaik untuk atlet muda melakukan persiapan rapi sebelum menyertai kejohanan lebih besar seperti Sukan Sea.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, atlet yang cemerlang ketika beraksi di Sukma bakal 'naik pangkat' untuk disenaraikan mewakili negara ke kejohanan antarabangsa.

Menurutnya, situasi terbabit sudah terbukti apabila penyertaan atlet muda ke temasya Sukan Sea Hanoi, di Vietnam menyaksikan mereka mampu membawa pulang pingat untuk negara. "Tentu sekali kerana kita sedar dikalangan atlet dahagakan pertandingan seperti kejohanan besar. Walaupun kita menyenaraikan atlet muda di Vietnam mereka tetap mampu memberi saingan sengit kepada lawan.

"Jika melihat keadaan sekarang dengan persediaan dalam tempoh 10 bulan (temasya Sukan Sea Kemboja) menyaksikan cukup penting kita melakukan persiapan rapi," katanya ketika pada sidang media selepas Majlis Pelancaran 100 hari Sukma 20 Majlis Sukan Negara(MSN) 2022, di sini, hari ini.

Mengikut rekod, Sukma ke-20 kembali menemui peminat sukan tanah air selepas tiga tahun temasya itu ditunda berikutan pandemik Covid-19.

Penganjuran Sukma kali ini menyaksikan 31 jenis sukan dipertandingkan iaitu membabitkan penyertaan dalam 445 acara.

Selain itu, Faizal berkata, penganjuran temasya dwi tahunan itu menyaksikan penyertaan hampir 10,000 atlet dan pegawai dengan venue pertandingan di sekitar Lembah Kelang. "Pada temasya kali ini juga menyaksikan minimum jumlah penyertaan untuk setiap acara adalah membabitkan enam negeri berbanding syarat sebelum ini adalah lapan negeri.

"Oleh sebab itu, saya sarankan persatuan sukan negeri utamakan pembangunan atlet sebagai persediaan menyertai kejohanan seumpama ini," katanya.

Pada masa sama, tidak akan meminggirkan atlet senior kerana mereka juga memerlukan penyertaan ke kejohanan besar untuk mengekalkan prestasi," katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2022 @ 7:22pm
d