Sukan Lain

Fadhil raih perak di ACC

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pakar 1 kilometer ujian masa negara, Fadhil Zonis meraih perak di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di New Delhi, India sebentar tadi.

Fadhil melakukan catatan masa 1 minit 1.639 saat (s) di Velodrom Kompleks Sukan Indira Gandhi, sekali gus mengulangi pencapaian tempat kedua yang diraih di ACC 2020 di Korea Selatan.

Emas menjadi milik pelumba Jepun, Yuta Obara yang mencatat masa 1:01.118s, manakala gangsa milik wakil tuan rumah, Ronaldo Singh Laitonjam (1:01.798s).

Kali terakhir pelumba lelaki negara meraih emas dalam acara berkenaan ialah melalui Edrus Yunus pada 2012.

Sementara itu dalam saingan pecut individu wanita Anis Amira Rosidi dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, terkandas di peringkat suku akhir.

Kedua-dua mereka tumpas kepada wakil Korea Selatan, Cho Sunyoung dan Park Ji Hae.

Disiarkan pada: June 20, 2022 @ 10:53pm
d