Sukan Lain

Fadhil terkilan gagal sumbang emas buat negara

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Jaguh 1 kilometer ujian masa negara, Fadhil Zonis mengakui terkilan tidak dapat menghadiahkan emas di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) semalam apabila dia hanya dapat mempertahankan perak.

Menurut pelumba kelahiran Selangor itu, hasratnya adalah untuk menghadiahkan emas buat keluarganya selepas genap tiga tahun arwah bapanya, Mohd Zonis Mokhtar meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang pada 20 Jun 2019.

Bagaimanapun, dia tetap berpuas hati dengan pencapaian berkenaan walaupun sedar ia bukan mudah untuk mempertahankan perak dengan kehadiran pemenang emas 2020, Andrey Chugay, wakil tuan rumah, Ronaldo Singh Laitonjam dan jaguh Jepun, Yuta Obara.

"Alhamdulillah saya dapat menghadiahkan perak buat pasukan Malaysia walaupun saya meletakkan sasaran meraih emas dalam acara ini di ACC. Hasrat saya tidak kesampaian dan saya tumpas kepada pelumba yang lebih baik," katanya.

Ujarnya, dalam masa sama dia juga berasa sangat letih selepas melalui dua perlumbaan intensiti tinggi sebelum itu bagi acara keirin dan pecut berpasukan.

"Ketika hendak turun memanaskan badan semuanya berjalan lancar walaupun sebelum itu saya sedikit tertekan melihat kehadiran Chugay, pelumba tuan rumah (Ronaldo Singh Laitonjam) melakukan catatan yang baik dalam pecut berpasukan.

"Begitu juga dengan kehadiran Obara yang mempunyai catatan yang baik sejak di Kejohanan Dunia lagi. Tapi saya sudah berikan yang terbaik," kata pelumba berusia 25 tahun itu.

Fadhil melakukan catatan masa 1 minit 1.639 saat (s) di Velodrom Kompleks Sukan Indira Gandhi semalam sekali gus mengulangi pencapaian tempat kedua yang diraih di ACC 2020 di Korea Selatan.

Emas menjadi milik pelumba Obara yang mencatat masa 1:01.118s, manakala gangsa milik wakil tuan rumah, Ronaldo (1:01.798s).

Kali terakhir pelumba lelaki negara meraih emas dalam acara berkenaan ialah melalui Edrus Yunus pada 2012.

Disiarkan pada: June 21, 2022 @ 2:56pm
d