Sukan Lain

UiTM harap empat atlet terpilih ke Birmingham 2022

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Empat atlet Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menjalani latihan untuk Sukan Komanwel Birmingham 2022 diharap terpilih beraksi di temasya sukan itu bermula 28 Julai sehingga 8 Ogos depan.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, empat atlet itu adalah dari sukan ragbi, boling padang dan angkat berat.

"Saya berharap, semua mereka akan terpilih ke Birminghan nanti, sekali gus melonjak nama UiTM di peringkat antarabangsa," katanya ketika menyempurnakan majlis perasmian Penutupan Karnival Sukan Antara Kolej, baru-baru ini.

Pada majlis sama, beliau menyerahkan insentif tambahan RM1,000 kepada pemenang pingat atlet UiTM di Sukan Sea ke-31 di Hanoi, Vietnam, bulan lalu.

"Pihak universiti berbesar hati ingin memberikan insentif tambahan iaitu ganjaran wang tunai RM1,000 kepada semua pemenang pingat di Sukan Sea Hanoi.

"Saya berharap agar pemberian insentif ini akan menjadi pemangkin semangat untuk mereka meneruskan kecemerlangan sukan di UiTM dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia," katanya.

Untuk rekod, kejayaan atlet UiTM adalah salah satu agenda universiti dalam mencapai Pelan Perancangan Strategik 2020-2025 untuk menjadi Globally Renowned University (GRU) menjelang 2025 nanti.

Disiarkan pada: June 27, 2022 @ 8:50pm
d