Sukan Lain

Jangan datang jika sekadar makan angin

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: "Ini bukan kejohanan biasa, masa tidak akan berulang jika merasakan ia sekadar kejohanan biasa baik undur diri sebab ini adalah perjuangan untuk Malaysia," kata Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat.

Ayub melontarkan cabaran kepada tujuh atlet angkat berat negara yang disandarkan sasaran membawa pulang satu emas di Sukan Komanwel Birmingham mulai Khamis ini.

Untuk rekod, skuad angkat berat tidak pernah mengecewakan di temasya empat tahun sekali itu dengan kejayaan membanggakan dilakukan ketika di Gold Coast, Australia empat tahun lalu di mana mereka berjaya membawa pulang dua emas menerusi Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad dalam kategori 56 kilogram (kg) dan Muhamad Aznil Bidin, 62 kg serta satu perak oleh Muhamad Fazrul Azrie Mohdad dalam kategori 85 kg.

Kali ini, angkat berat sekali lagi diletakkan sandaran untuk meraih satu pingat emas di mana tugas itu digalas untuk Aznil yang akan turun mengibarkan cabaran pada 30 Julai ini dalam usaha mengulangi pencapaian di Gold Coast dalam kategori 61kg.

Ayub berkata, berdasarkan prestasi semasa, Aznil mampu untuk merealisasikan matlamat berkenaan di samping Mohd Aniq Kasdan dan Muhammad Erry Hidayat masing-masing dalam kategori 55kg dan 73kg.

"Angkat berat disandarkan satu pingat namun saya harap mereka mendapat lebih daripada satu emas. Tapi tidak mustahil kami dapat melakukan kejutan hasil usaha, semangat dan doa rakyat Malaysia.

"Berjuanglah berhabis-habisan. Kita dah tunggu lama, jika ada sikit kecederaan lupakan sebentar. Berjuang dengan bersemangat kerana ini adalah perjuangan dan mungkin kalian tidak akan bersama lagi untuk edisi seterusnya," katanya.

Terdahulu Aznil yang menjadi prospek terbaik skuad negara itu berjaya meraih perak ketika temasya Sukan Sea Hanoi, Vietnam Mei lalu.

Lebih manis, Aznil berjaya memperbaharui rekod kebangsaan dengan angkatan keseluruhan yang dilakukannya sebelum ini 285 kilogram (kg) di Pattaya, Thailand pada 2019 kepada 287kg di Pusat Latihan dan Pertandingan Sukan Hanoi.

Skuad angkat berat menjalani latihan intensif Lampung, Indonesia bersama-sama jurulatih Yon Haryono dan dijangka tiba ke Birmingham hari ini.

Disiarkan pada: July 26, 2022 @ 6:14pm
d