Sukan Lain

Beasley pandang positif prestasi skuad berbasikal trek

Oleh BERNAMA

Birmingham: Ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley memilih untuk melihat kepada petanda positif dengan prestasi dipamerkan pelumba lelaki dan wanita dalam acara pecut berpasukan Sukan Komanwel Birmingham 2022 hari ini, walaupun tiada kilauan pingat disumbangkan.

Beliau berkata, pujian harus diberikan kepada barisan pelumba terutama Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang merekodkan pusingan kedua terpantas keseluruhan dalam acara berlangsung di Lee Valley VeloPark, London itu.

Muhammad Shah Firdaus bersama adiknya Muhammad Ridwan dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis merekodkan 44.496 saat pada sesi kelayakan untuk menamatkan saingan di tempat kelima keseluruhan.

Hanya empat pasukan terbaik layak ke perlumbaan penentuan pingat.

"Masa 44.49s adalah seperti saya jangkakan... meletakkan kita di tempat keempat, jadi kita tidak jauh ketinggalan.

"Saya percaya prestasi Shah Firdaus pasti positif untuk mengambil bahagian dalam acara keirin lelaki esok," katanya kepada Bernama.

Pada masa sama, jurulatih kelahiran Australia itu menyifatkan prestasi hari ini sebagai satu permulaan baik walaupun tanpa kelibat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang terpaksa menarik diri kerana menjalani proses pemulihan selepas menjalani pembedahan jantung terbuka pada April lalu.

"Kami adalah yang seterusnya untuk bertaraf dunia, kami tahu itu... kami tahu di mana kami berada dan kami sedang membinanya," katanya.

Sementara itu, mengenai status pasukan pecut wanita yang diturunkan kedudukan, Beasley berkata, ia susulan kesilapan teknikal membabitkan pelumba negara ketika pertukaran pelumba di garisan penamat.

"Berdasarkan peraturan, ketika berlaku pertukaran setiap pelumba perlu melepasi garisan penamat sebelum pelumba berikutnya boleh memulakan pecutan. Ia hampir…kami hanya tersalah jangkaan perubahan.

"Inilah yang boleh berlaku dengan pasukan muda yang tidak berpengalaman di peringkat pertandingan seperti ini kerana terdapat banyak tekanan yang tidak biasa mereka alami," katanya sambil menambah beliau percaya mereka akan belajar daripada kesilapan itu.

Disiarkan pada: July 30, 2022 @ 7:51am
d