Sukan Lain

Carl Lewis tunggu Azeem di Houston?

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Keputusan sudah pun dibuat oleh pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi apabila memilih untuk melanjutkan pelajaran di luar negara dengan Amerika Syarikat (AS) menjadi destinasi pilihannya.

Perkara itu disahkan jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah yang berkata, anak didiknya yang meraih keputusan 6A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) itu menerima tiga tawaran bagi menyambung pengajiannya di universiti dekat AS iaitu di Minnesota, Oregon dan Houston.

Bagaimanapun katanya, belum ada keputusan muktamad universiti mana yang akan disertai atlet berusia 18 tahun itu kerana ia memerlukan perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN).

"Azeem akan menyambung pelajaran di luar negara dan berlatih. Maksud saya belajar sambil berlatih. Jika semuanya berjalan lancar, insya-Allah dia akan berangkat pada Januari nanti.

"Sekembalinya ke tanahair selepas ini, Azeem akan menyambung latihan untuk persediaan ke Sukma yang akan diadakan pada September," katanya ketika dihubungi.

Sekiranya benar Universiti Houston, Azeem bakal mendapat bimbingan legenda AS, Carl Lewis.

Lewis, 61, yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik sembilan kali dilantik sebagai ketua jurulatih trek dan balapan Universiti Houston, bulan lalu.

Azeem menggegarkan olahraga negara apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 100 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia dengan catatan 10.09s di peringkat saringan memadamkan rekod lama milik Khairul Hafiz Jantan 10.18s yang dilakukan ketika temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak 2016.

Pada final acara 100m, Azeem menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima dengan merekodkan masa 10.14s dalam perlumbaan yang dikuasai oleh Letsile Tebogo dari Botswana yang turut mencipta rekod baru remaja dunia dan kejohanan dengan catatan masa 9.91s.

Hari ini, perjuangan Azeem terhenti pada aksi separuh akhir acara 200m apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat dengan catatan 20.97s dengan faktor cuaca menjejaskan lariannya sekali gus tidak dapat mara ke pentas final.

Terdahulu, Azeem mengungguli perlumbaan dengan catatan masa 20.83s pada saringan ketiga untuk layak ke separuh akhir dan catatan itu adalah rekod kebangsaan bagi kategori bawah 20 tahun sekali gus memperbaiki rekod peribadinya sebelum ini iaitu 20.89s.

Bagaimanapun catatan itu kekal kedua terpantas dan masih belum dapat mengatasi rekod kebangsaan milik Russel Alexander Nasir Taib 20.77s yang dilakukan pada 2019.

Mengulas secara keseluruhan prestasi anak didiknya itu, Amir cukup berpuas hati dengan pencapaian Azeem di Cali.

"Pada hari ini Azeem sudah cuba sehabis baik dan saya berpuas hati secara keseluruhannya. Setidaknya dia berjaya memperbaharui rekod peribadinya sendiri. Tidak ada perkara yang perlu dikesalkan.

"Secara keseluruhannya Azeem berjaya mempamerkan persembahan yang baik dalam kedua-dua acara. Alhamdulillah saya sangat bersyukur kerana dia dapat menamatkan kedua-dua acara dalam keadaan yang sihat," katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2022 @ 12:06pm
d