Sukan Lain

Malaysia sebagai negara sukan menjelang 2025 [METROTV]

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meletakkan sasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai negara sukan menjelang 2025.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, bagi mencapai sasaran itu, masyarakat secara keseluruhannya perlu mengamalkan budaya sukan.

"Oleh itu, tanggungjawab KBS adalah untuk memastikan skor Indeks Budaya Sukan Malaysia (IBSM) sentiasa berada pada tahap yang baik.

"Berdasarkan skor IBSM pada tahun lalu berada pada tahap sederhana dengan nilai skor 52 secara keseluruhannya.

"Ini menunjukkan bahawa pembabitan Keluarga Malaysia dalam aktiviti sukan masih berada di tahap sederhana.

"Namun, kita harap dengan penganjuran pelbagai acara sukan di peringkat akar umbi akan meningkatkan skor IBSM setiap tahun.

"Skor 75 adalah pada tahap memuaskan dan kita akan berusaha ke arah itu dengan pelbagai inisiatif menerusi pelaksanaan program dan aktiviti sukan," katanya.

Lian Ker berkata demikian kepada media selepas Program 1,000 Liga peringkat kebangsaan di perkarangan Stadium darul Makmur, di sini hari ini.

Beliau percaya penganjuran 1,000 Liga akan membantu menjadikan Malaysia sebagai negara sukan dengan penyertaan pelbagai peringkat umur.

Katanya, 1,000 Liga adalah inisiatif baharu KBS yang dilaksanakan melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan hasrat membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi penganjuran acara sukan individu.

"Liga ini sedang rancak berjalan di seluruh negara merangkumi peringkat daerah, negeri dan kebangsaan yang mensasarkan penyertaan 100,000 orang.

"Antara acara sukan yang dipertandingkan adalah pingpong, badminton, tenpin boling, catur dan skuasy membabitkan 854 liga di peringkat daerah, 120 liga di peringkat negeri dan 26 liga di peringkat kebangsaan," katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2022 @ 2:15pm
d