Sukan Lain

HSN 2022 kembali disambut meriah

Oleh Syazwan Msar dan Affan Rostam

Putrajaya: Hari Sukan Negara 2022 (HSN 2022) kembali menjadi aktiviti tahunan yang meriah selepas dua tahun ia tidak dapat dijalankan dengan skala besar berikutan penularan pandemik Covid-19.

Dengan kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung pada hari pertama HSN2022 itu juga jelas menunjukkan kerinduan rakyat Malaysia terhadap aktiviti serta kemeriahan acara tahunan terbabit.

Sebanyak 56 acara dan aktiviti menarik diadakan pada kali ini seperti seni mempertahankan diri, 1000 Liga Peringkat Kebangsaan, Karnival Inspire orang kurang upaya (OKU), jualan barangan sukan (sports bazaar), pameran jabatan dan agensi kerajaan termasuk program ikonik HSN iaitu neon ride, fun run, fun ride serta fun walk.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus berusaha sedaya upaya untuk menjadikan aktiviti sukan sebagai budaya dalam masyarakat Malaysia.

Malah, beliau bersyukur dengan hasil pembentangan Bajet 2023, semalam yang menyaksikan sejumlah RM977,543 juta diperuntukkan kepada KBS untuk terus memacu kecemerlangan sukan negara.

"Usaha ini bukan sahaja untuk mencapai matlamat Malaysia sebagai sebuah 'Negara Sukan' tetapi, mampu menjana impak positif termasuk peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur, perniagaan dan pelbagai lagi.

"Terima kasih juga kepada Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan kerana mengiktiraf usaha KBS dalam melonjak kemajuan sukan dan pembangunan belia.

"KBS yakin inisiatif yang dibentangkan ini adalah manisfestasi keprihatinan dan usaha berterusan terhadap tindakan yang dimulakan oleh KBS sepanjang setahun ini.

"Ia pasti akan membantu pembangunan belia dan sukan negara demimenjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya ketika menyampaikan ucapan semasa Majlis Perasmian HSN2022 di Dataran Istana Kehakiman, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua badan-badan yang terlibat dalam menjayakan HSN2022 termasuk sumbangan dan pemerhatian serius daripada pihak kerajaan.

"Terima kasih kepada seluruh Kementerian, agensi Kerajaan, NGO dan rakan-rakan media kerana turut terlibat sama dalam penganjuran HSN 2022 khususnya melibatkan kempen serta promosi

"Saya juga amat berbesar hati kerana penganjuran HSN mendapat perhatian serius yang mana hasil pembentangan Bajet 2023 semalam, sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi tujuan penganjuran HSN pada tahun hadapan," katanya.

HSN2022 dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selain turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker.

Disiarkan pada: October 8, 2022 @ 12:32pm
d