Sukan Lain

Skuad wanita raih gangsa boling Piala Dunia

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Pengurus pasukan skuad boling negara, Maradona Chok memuji semangat jitu dipamerkan pasukan wanita negara yang meraih pingat gangsa acara berpasukan di Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) 2022 dekat Queensland, Australia, semalam.

Pasukan negara yang dibarisi pemain veteran, Esther Chiah, Sin Li Jane, Natasha Roslan dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman mengharungi lima perlawanan untuk mengatasi Jordan Richard, Bryanna Cote, Danielle McEwan dan Stefanie Johnson dari Amerika Syarikat (AS), 3-2.

"Akhirnya pingat gangsa daripada pasukan wanita negara. Pasukan ini benar-benar beraksi dengan baik dan kesemuanya bekerja keras.

"Kejohanan ini meletihkan mental kerana lebih dua minggu beraksi dengan tekanan tinggi. Secara keseluruhannya ia aksi hebat dipamerkan kedua-dua pasukan lelaki dan wanita yang berjaya melepasi saingan liga sepusingan sebagai pasukan nombor satu dan dua. Ia menunjukkan gambaran sebenar bahawa kami antara yang terbaik di dunia," katanya.

Pada perlawanan itu, Malaysia mendahului apabila memenangi perlawanan pertama dengan 226-204 jatuhan pin dan terus mendahului 2-0 dengan kemenangan 219-182 pada perlawanan kedua.

AS bangkit dan menguasai dua perlawanan seterusnya dengan keputusan 226-192 dan 248-220.

Bagaimanapun, pasukan negara tidak mengaku kalah dan terus berjuang untuk memenangi perlawanan terakhir dengan mengatasi pasukan lawan 235 jatuhan pin berbanding 228 jatuhan pin.

Terdahulu, skuad negara gagal melangkah ke final selepas tewas 1-3 (190-237, 214-190, 207-240, 204-228) kepada Sweden.

Kelmarin, pemain lelaki negara, Timmy Tan terlepas pingat gangsa selepas tewas kepada wakil AS, Kris Prather 279-288, 206-215 dalam acara perseorangan lelaki.

Disiarkan pada: November 24, 2022 @ 12:55pm
d