Sukan Lain

AIS tingkat motivasi atlet - Nurul Syasya

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Siapa pun yang menang nanti, ia adalah kemenangan buat semua atlet negara, jelas penembak negara, Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin yang diminta mengulas mengenai penganjuran Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro.

Menurut pemenang pingat emas Sukan Sea Hanoi 2021 pada Mei lalu itu, AIS membuka mata semua pihak bahawa atlet memerlukan platform untuk meningkatkan motivasi mereka melalui sokongan undian daripada peminat.

"Saya rasa penganjuran AIS ini sangat bagus untuk meningkatkan motivasi atlet. Ia membuka peluang buat peminat memberi sokongan kepada atlet kesayangan mereka," kata penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu.

Ujarnya, AIS turut membuka mata buat atlet negara bahawa mereka selama ini bukan sahaja mendapat sokongan daripada keluarga, malah turut diangkat peminat tempatan tatkala mewakili negara di peringkat antarabangsa.

"Ini peluang terbaik buat atlet yang berbeza sukan bersaing antara satu sama lain. Kalau yang tidak menang itu, mungkin tiada rezeki, tapi saya rasa mereka tetap gembira melihat rakan lain merangkul anugerah ini.

"Ini kerana, kita semua satu pasukan Malaysia," katanya.

Sebanyak lapan kategori utama dipertandingkan untuk AIS ialah Ikon Sukan Lelaki Breakthru; Ikon Sukan Wanita Breakthru; Ikon Sukan Paralimpik; Ikon Sukan Jurulatih; Ikon Sukan Persatuan/Kelab; Ikon Sukan Kepimpinan; Ikon Sukan Harapan; dan Ikon Sukan Pempengaruh.

Selepas berakhir pusingan pertama, undian pusingan kedua membabitkan lima atlet dan ahli sukan terbaik bagi setiap kategori akan bermula pada 1 Disember ini.

Ini bermakna, lima calon disenarai pendek bagi setiap kategori itu akan berentap sekali lagi dengan pemilihan kali ini membabitkan 50 peratus penilaian juri profesional dan 50 peratus lagi daripada undian pilihan peminat.

Seorang pemenang meraih undian dan markah paling banyak akan dinobatkan dengan Anugerah Ikon Sukan Terbaik dan pemenangnya akan diumumkan pada malam kemuncak AIS.

Dapatkan borang undian AIS di dalam akhbar Harian Metro atau boleh mengundi melalui www.hmetro.com.my/AIS.

Disiarkan pada: November 25, 2022 @ 6:37pm
d