Sukan Lain

PSM harap dapat jumpa Hannah segera

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) berharap dapat mengadakan pertemuan segera dengan Menteri Belia dan Sukan baharu, Hannah Yeoh bagi memberi penjelasan berhubung kemelut membabitkan badan induk itu.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, pertemuan segera perlu dilakukan bagi memperjelaskan situasi itu berikutan masalah berkenaan sudah berlarutan cukup lama.

"Saya bukan mahu meminta bantuan, menteri sebelum ini pun ada mahu menolong, tetapi masih tiada jalan penyelesaian.

"Saya cuma mahu bertemu dengannya untuk menerangkan masalah sebenar agar dia mendapat gambaran apa yang terjadi dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak," katanya ketika ditemui pada majlis makan malam sempena Kejohanan Piala Emas Khir Johari, malam tadi.

PSM sebelum ini sudah diberikan notis cadangan pembatalan oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS) pada September lalu, namun Sumali menjelaskan pihaknya sudah membalas semula notis itu dengan memberikan sebab kukuh mereka tidak boleh dibatalkan.

Ketika ini, badan induk yang sah mengelolakan aktiviti sepak takraw negara adalah Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Mastaf), namun sehingga kini mereka belum lagi diterima masuk menjadi anggota Majlis Olimpik Malaysia (MOM), dengan kedudukan itu masih lagi menjadi milik PSM.

Sumali mendedahkan, pihaknya masih bersikap terbuka mengadakan perbincangan bersama Mastaf untuk mencari jalan penyelesaian berhubung kemelut antara mereka.

"Sebelum ini memang ada siri pertemuan antara PSM dan Mastaf, tetapi tak berjaya untuk mencapai apa-apa hasil.

"Esok saya akan berjumpa lagi dengan pihak Mastaf untuk membuat rundingan bagi mencari jalan penyelesaian demi kebaikan sepak takraw negara," kata Sumali.

Disiarkan pada: December 6, 2022 @ 5:32pm
d