Sukan Lain

Pengunjung serbu gerai AIS [METROTV]

Oleh Syazwan Msar

Iskandar Puteri: Gerai Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro diserbu puluhan pengunjung pada hari pertama Karnival Jom Heboh yang berlangsung di Puteri Harbour, di sini, hari ini.

Orang ramai mula membanjiri gerai AIS seawal jam 9 pagi dengan masing-masing tidak mahu terlepas peluang untuk menyertai aktiviti yang disediakan oleh penganjur.

Situasi semakin 'rancak' apabila Pelumba muda negara Muhammad Hakim Danish Ramli hadir bagi memeriahkan lagi aktiviti yang disediakan sepanjang jelajah AIS.

Muhammad Hakim Danish yang juga 'top 5' Ikon Sukan Harapan berkesempatan menyertai aktiviti seperti sepak bola dan cabutan bertuah selain turut beramah mesra bersama pengunjung.

Sementara itu, pengunjung 'road tour' AIS Rahmat Mahat,45, berkata dia sanggup datang awal ke karnival Jom Heboh supaya tidak terlepas peluang untuk bertemu pelumba muda itu.

"Saya memang meminati sukan permotoran dan apabila mengetahui Hakim turut berada di jelajah AIS menyebabkan saya mahu merakam kenangan bersamanya.

"Hakim juga seusia dengan anak saya sekali gus berharap kejayaannya dalam sukan permotoran menjadi ikutan generasi muda kelak," katanya yang bekerja sebagai peniaga.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung jelajah AIS Kaslan Latin, 42, berkata inisiatif Harian Metro mengadakan anugerah AIS cukup baik dalam usaha memperkenalkan atlet kepada peminat sukan tanah air.

"Ada beberapa atlet yang sebenarnya menyerlah di peringkat antarabangsa namun kurang dikenali dikalangan peminat sukan tanah air kerana mungkin kurang publisiti seperti artis.

"Oleh itu, menerusi anugerah AIS ini, saya boleh mengenali dan mengundi atlet yang dilihat berbakat besar serta sudah meraih pelbagai kejayaan seperti Hakim," katanya.

Selain itu pesilat negara Mohd Al Jufferi Jamari akan tampil ke gerai AIS esok sekali gus orang ramai berpeluang beramah mesra dengan individu berkenaan kelak.

Mohd Al Jufferi pula pemegang gelaran juara dunia empat kali dengan terbaru merangkul pingat emas di Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 yang berlangsung di Dewan Melaka International Trade Center (MITC) pada Ogos lalu turut tercalon dalam kategori Ikon Sukan Lelaki Breakthru.

Sementara itu lebih banyak perkara menarik menanti orang ramai yang hadir seperti sepak bola, mini badminton, kayuh dan kisar, cenderahati eksklusif, jualan dan cabutan bertuah.

Disiarkan pada: December 9, 2022 @ 2:22pm
d