Sukan Lain

Sukan perlu bebas politik

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Masa yang terbaik untuk menekan butang set semula (reset) arena sukan negara, itulah pandangan yang diberikan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam kolum sulung yang dikenali sebagai 'Mesej Presiden'.

Menurutnya, kebimbangannnya mengenai ketidakstabilan kerajaan memberi impak besar kepada arena sukan tanah air dan Hannah Yeoh adalah Menteri Belia dan Sukan keempat selepas beliau mengambilalih jawatan nombor satu MOM sejak 2018.

"Ketidaktentuan dan perubahan lanskap politik tanah air mengganggu gugat kestabilan budaya prestasi tinggi bagi program elit sukan dan arena ini seharusnya bebas daripada politik," kata Norza.

Ujarnya, program yang sudah ditetapkan untuk atlet negara seharusnya tidak terjejas dengan perubahan di peringkat kerajaan persekutuan.

"Harus ada struktur sukan yang bebas daripada ketidaktentuan politik bagi memastikan program jangka sederhana dan panjang tidak terganggu dengan perubahan arena politik.

"Dalam ucapan saya (ketika Hannah menghadiri Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM, Disember lalu), saya mengulangi gesaan supaya undang-undang percukaian di negara ini dikaji semula," kata Norza yang juga presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Jelasnya, arena sukan tidak boleh terikat dengan undang-undang kuno yang menghalang cara sukan dibiayai di Malaysia hari ini.

"Sebagai badan yang memayungi Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA), MOM mencadangkan pembiayaan jangka panjang, dengan kitaran empat tahun berdasarkan Sukan Olimpik berbanding amalan hari ini yang bergantung kepada bajet tahunan yang diumumkan oleh kerajaan.

"Cadangan saya sebelum ini, diwujudkan Cukai Perpaduan Sukan, di mana pihak swasta atau orang perseorangan diberikan pengecualian cukai atau insentif tambahan sebagai cara untuk menarik minat mereka melabur dalam bidang sukan," kata Norza.

Beliau menjelaskan, memandangkan bajet untuk sukan semakin mengecil dari tahun ke tahun, Cukai Perpaduan Sukan akan mengurangkan tekanan ke atas kerajaan untuk memperuntukkan pembiayaan.

"Perlu mewujudkan model di mana semua sektor - kerajaan dan swasta - bekerjasama rapat untuk industri sukan yang mampan. Bagi setiap ringgit yang diperuntukkan dan dibelanjakan, arena sukan perlu mengetahui jumlah sebenar dibelanjakan untuk atlet dan sukan berkenaan. '

"Daripada setiap ringgit dibelanjakan, mungkin separuh daripadanya diperlukan untuk keperluan birokrasi. Kita perlu mengakui hakikat bahawa zaman NSA mendapatkan pembiayaan semata-mata daripada kerajaan saja sudah berlalu.

"Kita memerlukan pembabitan sektor swasta secara besar-besaran, sama seperti Program Rakan Sukan yang dimulakan pada tahun 1993 oleh kementerian untuk menggalakkan mereka bekerja bukan saja daripada segi pulangan pelaburan tetapi juga sebagai rakan kongsi sosial korporat kepada NSA," katanya.

Dalam masa yang sama, Norza juga membangkitkan idea memperluaskan skim pencen buat atlet seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini.

"MOM dan Majlis Sukan Negara (MSN) pernah mengadakan pertemuan dengan sektor swasta pada Mei 2022 untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik tentang cara program anuiti dan skim insurans dijalankan sebagai sebahagian daripada penyelidikan mereka dalam menyediakan kertas kerja untuk dibentangkan kepada kabinet," katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2023 @ 2:48pm
d