Sukan Lain

Selangor sedia RM789,560 bantu bekas atlet

Oleh Ferzalfie Fauzi

Sungai Buloh: Kerajaan Selangor menyediakan RM789,560 untuk membantu bekas atlet Selangor yang dalam kesempitan menerusi Program Ceria Atlet Selangor 2020 hingga 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Belia dan Sukan dan Pembangunan, Mohd Khairuddin Othman berkata, pihaknya kini berharap lebih ramai bekas atlet kebangsaan tampil ke hadapan sekiranya berdepan masalah.

"Menerusi bantuan itu, bekas atlet kelahiran Selangor boleh menarik nafas lega apabila kebajikan mereka terbela kerana pada tahun ini sahaja, Selangor memperuntukkan RM199,380 kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb)," katanya di kediaman bekas atlet berbasikal, Abd Mutalib Mydin di Kampung Bahagia, Bukit Lagong, Sungai Buloh.

Hadir sama, Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Pada majlis itu, Abd Mutalib menerima pemilikan tanah dari kerajaan negeri Selangor selepas menetap di kediaman itu kira-kira 40 tahun lalu.

Mohd Khairuddin berkata, Program Ceria Atlet Selangor adalah inisiatif kerajaan negeri untuk membaikpulih kediaman dan sumbangan barangan perabot kepada bekas atlet.

Menurutnya, program itu memasuki kali keempat dan kali ini, mereka memfokuskan kebajikan bekas atlet serta mengumpulkan mereka di situ.

"Bertemakan 'Hargai Jasa Atlet', penganjuran program ini adalah sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pencapaian bekas atlet Selangor yang pernah mengharumkan nama negeri dan Malaysia.

"Sejak bermulanya program ini pada 2020, peruntukan sebanyak RM789,560 disalur bagi merealisasikan objektif program ini.

"Antara bentuk bantuan seperti membaikpulih kediaman dan sumbangan barang perabot yang membabitkan hampir 200 bekas atlet," katanya.

Khairuddin turut berharap atlet negara khususnya atlet Selangor yang berdepan masalah dapat terus ke hadapan berjumpa dengan Yakeb.

"Saya harap mana-mana bekas atlet kita yang membawa nama Selangor yang berdepan masalah geran tanah, atau pekerjaan terus berjumpa Yakeb dan kita akan cuba bantu.

"Pelaksanaan Program Ceria Atlet Selangor 2023 ini diharapkan dapat menjadi penanda aras dalam menzahirkan keprihatinan bagi membela kebajikan bekas atlet ini.

"Seterusnya, jasa dan pengorbanan mereka dalam arena sukan akan terus kekal dihargai kerajaan negeri Selangor," katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2023 @ 8:36pm
d