Sukan Lain

Yakeb hargai kerjasama kerajaan negeri

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) mengalu-alukan kerjasama daripada kerajaan negeri lain untuk membantu bekas atlet negara yang memerlukan bantuan sama seperti yang dilakukan kerajaan negeri Selangor.

Menurut pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, kerajaan negeri Selangor melalui exco Pembangunan Generasi Belia dan Sukan dan Pembangunan, Mohd Khairuddin Othman sudah bersama-sama mereka selama empat musim menjalankan Program Ceria Atlet Selangor 2020 hingga 2023.

"Sebenarnya exco Pembangunan Generasi Belia dan Sukan dan Pembangunan negeri Selangor ini memang sangat prihatin, namun ada juga exco negeri lain seperti Terengganu yang membantu dari segi bekas atlet paralimpik negara, Azman Mohamed Salleh mendapatkan rumah dan juga Wilayah Persekutuan melalui pemberian zakat, banyak membantu kita," katanya.

Ujar Noorul Ariffin beliau mengharapkan kerjasama dari negeri lain sama seperti dilakukan Selangor dengan tampil bersama-sama mereka membantu bekas atlet negara.

"Melalui Program Ceria Atlet Selangor tahun ini kita membantu 20 orang bekas atlet negara dengan 10 daripada mereka dibantu melalui membeli peralatan rumah, manakala 10 lagi pula dari segi membaiki rumah.

"Selepas ini kita akan bekerjasama dengan Yayasan Kebajikan Negara dengan membantu bekas atlet merangkummi empat zon. Jadi Kerjasama ini membuka ruang untuk kita menghulurkan bantu kepada bekas atlet negara di negeri lain pula. Kita akan menggunakan segala saluran yang ada untuk membantu mereka," katanya.

Ditanya mengenai bantuan pemilikan tanah kepada bekas atlet berbasikal negara, Abd Mutalib Mydin di Kampung Bahagia, Bukit Lagong, Sungai Buloh beliau berkata, ia buat julung kalinya Yakeb bersama kerajaan negeri Selangor berjaya menyelesaikan masalah seperti itu.

"Ini adalah kerjasama pertama membabitkan Yakeb dengan kerajaan negeri Selangor untuk pemilikan tanah. Kita bawa permohonan itu kepada YB Khairuddin dan akhirnya penantian lebih kurang 40 tahun Abd Mutalib berakhir," katanya.

Beliau berharap bekas atlet yang ada masalah perumahan, tukar hak milik tanah tampil kepada Yakeb yang mempunyai saluran sendiri dengan bantuan exco Pembangunan Generasi Belia dan Sukan dan Pembangunan negeri Selangor.

Semalam, Kerajaan Selangor mengumumkan perbelanjaan sebanyak RM789,560 untuk membantu bekas atlet Selangor yang dalam kesempitan menerusi Program Ceria Atlet Selangor 2020 hingga 2023.

Disiarkan pada: January 20, 2023 @ 6:17pm
d