Sukan Lain

Irwandie buru podium di UAE

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pelumba meningkat naik Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Irwandie Lakasek buru sekurang-kurangnya satu podium dalam perlumbaan sulung Tour of Sharjah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang bakal bermula Jumaat ini.

Selain itu pelumba yang bakal menamatkan zaman bujangnya pada April depan turut tekad untuk membantu pasukannya mengekalkan gelaran juara keseluruhan jelajah itu sebagaimana musim lalu dan merangkul jersi kuning keseluruhan terbaik individu.

"Aksi dalam dua perlumbaan lalu iaitu pada 2019 dan 2022 dalam jelajah itu (Tour of Sharjah) banyak memberi pengajaran dan pengalaman berguna kepada saya untuk merangkul gelaran pertama pada musim ini.

"Jika musim lalu saya gagal merangkul podium kerana hanya menamatkan di kedudukan sepuluh terbaik, perlumbaan pada kali ini saya mensasarkan untuk sekurang-kurangnya meraih satu podium, sokongan keluarga selain tunang, Afiqah Roshafiera Azhar, 26, menambah lagi tonik saya untuk melakar keputusan lebih positif buat pasukan," kata pelumba berusia 28 tahun kelahiran kampung Mak Chili, Kemaman itu.

Sementara itu Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasaruddin Wan Idrus berkata, berdasarkan enam pelumba yang dihantar menyertai perlumbaan selama lima hari itu, beliau yakin mereka mampu melakar kejayaan yang membanggakan dalam jelajah pertama musim 2023.

Katanya, sasaran ketiga terbaik keseluruhan kategori individu menjadi buruan enam pelumba dalam perlumbaan selain turut mensasarkan sekurang-kurangnya dua podium bagi dua peringkat perlumbaan bertaraf 2.2 itu yang bakal berakhir pada 31 Januari ini.

Selain pelumba kelahiran Ukraine, Anatolii Budiak yang berjaya menaiki satu podium dalam perlumbaan itu pada musim lalu, TSG turut menyandarkan harapan kepada dua lagi pelumba import iaitu Metkel Eyob dari Eritrea dan pelumba baharu yang juga jaguh kebangsaan Indonesia, Aiman Cahyadi.

TSG yang menduduki ranking ketiga terbaik benua dunia UCI musim lalu selain muncul juara dua tahun berturut-turut Jelajah Asia bermula 2021 turut mempertaruhkan tiga pelumba tempatan iaitu Mohd Shahrul Mat Amin, Irwandie dan Wan Abdul Rahman Hamdan.

"Kedudukan ketiga terbaik keseluruhan individu dan sekurang-kurangnya dua podium menjadi sasaran kami dalam perlumbaan edisi sulung ini di bumi UAE.

"Sasaran ini berdasarkan kekuatan dan pengalaman yang ada pada pelumba selain musim lalu kita berjaya meraih satu podium menerusi Budiak selain kita berjaya muncul juara keseluruhan.

"Kita meletakkan harapan agar pencapaian pada musim lalu itu bakal menjadi pemangkin semangat buat masing-masing tiga pelumba tempatan dan import yang diketuai kapten pasukan, Mohd Shahrul dan pengurus pasukan, Wan Mohd Nazri Wan Ahmad untuk melakar kejayaan yang lebih membanggakan negara dan TSG.

"Pada masa sama kita juga perlu meraih seberapa banyak mata bermula perlumbaan pertama lagi sebelum perlumbaan kedua Jelajah Arab Saudi bertaraf 2.1 bermula 30 Januari kerana misi kita pada musim ini adalah untuk merangkul gelaran pasukan benua nombor satu dunia," katanya yang memaklumkan pelumba bakal berlepas ke Dubai pada jam 1.30 pagi esok.

Disiarkan pada: January 24, 2023 @ 4:00pm
d