Sukan Lain

Tsitsipas, Khachanov mara ke separuh akhir Terbuka Australia

Oleh Reuters

Melbourne: Pemain pilihan ketiga, Stefanos Tsitsipas melangkah ke separuh akhir tenis Terbuka Australia di sini, sebentar tadi, untuk menempah pertemuan dengan pemain Russia, Karen Khachanov.

Pemain Greece itu yang mara ke separuh akhir buat kali keempat, terbukti terlalu unggul buat lawannya dari Republik Czech, Jiri Lehecka dalam saingan di Rod Laver Arena, dengan keputusan 6-3, 7-6 (7/2), 6-4.

Sebelum itu, Khachanov mara selepas lawannya, Sebastian Korda tidak dapat meneruskan perlawanan susulan kecederaan pergelangan tangan ketika mendahului 7-6(5) 6-3 3-0 sekali gus membolehkannya mara ke separuh akhir Grand Slam buat kali kedua berturut turut selepas Terbuka Australia tahun lalu.

Khachanov mula mencipta nama pada 2018 selepas mengungguli Masters Paris namun gagal menyerlah apabila tersingkir daripada kelompok 10 pemain terbaik dan hanya berjaya mara ke suku akhir Grand Slam sebanyak dua kali sehinggalah aksi di Flushing Meadows, tahun lalu.

Victoria Azarenka turut mara ke separuh akhir buat kali pertama sejak merangkul gelaran itu pada 2013 selepas menyingkirkan pemain pilihan ketiga kejohanan, Jessica Pegula 6-4, 6-1.

Azarenka akan membuat perhitungan dengan juara Wimbledon, Elena Rybakina pada aksi separuh akhir di Melbourne Park selepas ini.

Disiarkan pada: January 24, 2023 @ 10:28pm
d