Sukan Lain

Mimpi Magda jadi nyata

Oleh Reuters

Melbourne: Magda Linette terus mencipta kejutan apabila mara ke separuh akhir Terbuka Australia selepas mengatasi cabaran bekas pemain nombor satu dunia Karolina Pliskova 6-3, 7-5 hari ini.

Pemain bukan pilihan dari Poland itu mempamerkan kawalan permainan tenis cemerlang dalam cuaca panas di Rod Laver Arena.

Magda yang menduduki ranking ke-45 dunia kurang diberi tumpuan berbanding rakan senegara Iga Swiatek yang sudah pun tersingkir di Melbourne Park tetapi dia kini bertarung untuk merebut tempat ke final dan akan menentang Aryna Sabalenka yang mudah menewaskan Donna Vekic 6-3, 6-2.

"Kemenangan sangat bermakna dan saya sukar mempercayainya," kata pemain berusia 30 tahun itu. "Ia seperti mimpi jadi kenyataan. Saya akan teruskannya namun tidak boleh terlalu gembira kerana kejohahan belum tamat. Apapun saya tetap bersyukur."

Dia mencampakkan raket selepas mengutip mata kemenangan di set kedua untuk mara ke separuh akhir kali pertama dalam 30 penampilan Grand Slamnya.

"Detik yang saya tidak akan lupakan," tambahnya lagi. "Saya bekerja keras sekian lama dan mengatasi pelbagai cabaran. Kemaraan ini pastinya kekal dalam kehidupan saya, jadi sangat bersyukur."

Magda tidak pernah melepasi pusingan ketiga di Grand Slam sebelum tiba di Melbourne Park tahun ini dan berkata perubahan mentaliti antara punca kisah 'dongengnya' kali ini.

Disiarkan pada: January 25, 2023 @ 10:55am
d