Sukan Lain

Djokovic mara bergaya ke separuh akhir

Oleh AFP

Melbourne: Novak Djokovic hanya memerlukan dua kemenangan lag i untuk muncul juara Grand Slam kali ke-22 apabila mara ke separuh akhir Terbuka Australia, hari ini.

Djokovic mempamerkan aksi hebat untuk menyingkirkan pilihan kelima dari Rusia, Andrey Rublev 6-1, 6-2, 6-4 di suku akhir di Rod Laver Arena dan akan berdepan Tommy Paul untuk merebut tempat ke final, Ahad ini.

Djokovic, 35, kini semakin hampir untuk menyamai rekod seterunya, Rafael Nadal yang memenangi 22 gelaran utama dan walaupun berdepan masalah hamstring di peringkat awal di Melbourne Park, dia kelihatan bertenaga ketika menyingkirkan Alex de Minaur di pusingan keempat sebelum Rublev menjadi mangsa seterusnya.

"Jujurnya, saya tidak mampu lebih gembira lagi dengan permainan saya," kata Djokovic kepada penyokong di Rod Laver Arena.

"Saya beraksi dengan mantap dari belakang gelanggang ini dan saya sangat suka bermain dalam suasana begini di gelanggang ini."

Kemenangan itu menyaksikan pemain pujaan ramai itu mara ke separuh akhir Grand Slam kali ke-44 untuk menghampiri menyamai rekod sepanjang zaman Roger Federer dengan 46 penampilan di separuh akhir.

Sekiranya Djokovic gagal menewaskan Paul yang juga pemain bukan pilihan, ia pasti dianggap kejutan terbesar di kejohanan yang menyaksikan beberapa kejutan sebelum ini bagi acara lelaki dan wanita.

Paul menewaskan rakan senegaranya dari Amerika Syarikat (AS), Ben Shelton 7-6 (8/6), 6-3, 5-7, 6-4 untuk mara ke separuh akhir acara utama buat kali pertama.

Djokovic akan kembali menjadi pemain nombor satu dunia jika memenangi Terbuka Australia dengan rekod kejuaraan kali ke-10.

Djokovi dan Paul yang menduduki ranking ke-35 dunia, tidak pernah bertarung sebelum ini.

Disiarkan pada: January 25, 2023 @ 9:25pm
d