Sukan Lain

Djokovic raja Terbuka Australia

Oleh AFP

Melbourne: Novak Djokovic menewaskan Stefanos Tsitsipas, hari ini untuk meraih gelaran Terbuka Australia ke-10 dan menyamai 22 mahkota kejuaraan Grand Slam milik Rafael Nadal.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Djokovic kembali menduduki ranking nombor satu dunia.

Bintang Serbia itu mengatasi kecederaan hamstring dan drama luar gelanggang sekembalinya ke Melbourne Park untuk menewaskan lawannya yang juga pilihan ketiga dari Greece 6-3, 7-6 (7/4), 7-6 (7/5) di Rod Laver Arena.

Djokovic meraikan kemenangan tanpa bapa, Srdjan di tempat duduk penonton selepas dia mencetuskan kontroversi apabila bergambar dengan peminat yang membawa bendera Rusia memaparkan wajah Vladimir Putin selepas kemenangan suku akhir anaknya.

Sebaliknya Djokovic pantas memeluk ibunya dan menangis teresak-esak.

Ia adalah kemunculan semula luar biasa bagi pemain pilihan keempat berusia 35 tahun itu, yang terlepas beraksi pada edisi tahun lalu apabila diusir dari Australia kerana tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Selepas penggantungan tiga tahun dari Australia ditarik balik, Djokovic memenangi saingan Adelaide International sebelum mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain hebat sepanjang zaman di Melbourne.

Kemenangan itu menyaksikan berkongsi rekod 22 gelaran Grand Slam bersama Nadal, lebih dua gelaran berbanding Roger Federer.

Disiarkan pada: January 29, 2023 @ 8:30pm
d