Sukan Lain

Aznil, Aniq tidak sertai Sukan Sea Kemboja

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Jaguh angkat berat negara, Muhammad Aznil Bidin dan Mohamad Aniq Kasdan sah tidak akan beraksi di temasya Sukan Sea Kemboja pada Mei nanti.

Perkara itu dimaklumkan Naib Presiden PABM, Amirul Hamizan Ibrahim memandangkan mereka dijadual menyertai kejohanan yang menawarkan mata kelayakan di Korea Selatan pada tarikh yang sama.

Susulan ketiadaan dua badang negara itu, Amirul memberitahu pihaknya meletakkan sasaran awal dua pingat gangsa untuk dibawa pulang dari temasya dwi tahunan itu dengan kontinjen angkat berat bakal diketuai pemenang pingat gangsa dalam kategori 73 kilogram (kg) pada edisi 2021 di Vietnam, Muhammad Erry Hidayat.

Malah, katanya Sukan SEA kali ini juga bakal disertai lima hingga enam muka baharu dalam program latihan bagi 2023 dan Erry turut dijadual bertanding dalam kategori 81kg berbanding sebelum ini, 71kg.

"Dalam kategori 81kg, ada juara dunia dari Indonesia. Kami dapat khabar, (dia) kemungkinan tak menyertai Sukan SEA dan fokus kepada (kejohanan) kelayakan. Oleh itu, ada peluang dapat pingat lebih daripada sasaran.

"Begitupun, buat masa ini, (sasaran) dua pingat gangsa dan apabila ada perubahan kategori, kita cuba untuk menghadiahkan sesuatu yang lebih lagi (daripada sasaran awal)," kata Amirul ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Untuk rekod, Aznil dan Aniq yang bertanding dalam kategori sama - 61kg - bakal bersaing dalam perebutan slot ke Paris memandangkan hanya satu qouta ditawarkan bagi setiap negara untuk satu kategori dipertandingkan.

Kedua-dua badang negara ini perlu menyertai dua kejohanan wajib untuk kelayakan iaitu di Kejohanan Dunia di Riyadh, Arab Saudi pada September dan Piala Dunia di Phuket Thailand pada April.

Selain itu, mereka juga perlu menyertai paling tidak tiga daripada lima kejohanan kelayakan yang lain antaranya seperti di Korea Selatan, Mei ini.

"Dua kejohanan wajib perlu disertai mereka dan kalau diikutkan, perlu berada dalam kelompok 12 terbaik (layak ke Sukan Olimpik Paris). Namun buat masa ini, sukar untuk digambarkan memandangkan Aznil dan Aniq bertanding dalam kategori sama.

"Mereka kena tunjukkan prestasi dan kita akan lihat siapakah yang lebih menunjukkan prestasi lebih baik," kata Amirul

Disiarkan pada: January 30, 2023 @ 7:45pm
d