Sukan Lain

Farah kembali berentap di Maraton London

Oleh Reuters

London: Pemenang empat pingat emas Sukan Olimpik dari Britain, Mo Farah akan kembali bersaing di Maraton London, April depan, selepas tidak menyertainya pada tahun lalu, kata pelari jarak jauh itu, hari ini.

Farah yang muncul juara Maraton Chicago pada 2018 dan pemenang rekod kebangsaan dalam acara maraton, tidak menyertai Maraton London, tahun lalu berikutan masalah kecederaan.

"Saya sangat kecewa terlepas Maraton London pada Oktober lalu kerana cedera, tetapi saya gembira acara itu kembali semula pada April depan, jadi tidak perlu menunggu sepanjang tahun untuk mendapat peluang berlari semula," kata Farah yang memenangi pingat emas acara 5,000 meter (m) dan 10,000m di Sukan Olimpik 2012 dan 2016, dalam satu kenyataan.

"Maraton London sentiasa istimewa buat saya dan saya tidak sabar untuk kembali berlari di atas jalan raya di bandar saya."

Turut menyertai Farah adalah juara acara 10,000m wanita di Sukan Komanwel Birmingham 2022, Eilish McColgan, yang menarik diri daripada membuat kemunculan pertama pada tahun lalu kerana masalah kesihatan.

Atlet berusia 32 tahun itu adalah anak perempuan kepada juara edisi 1996, Liz McColgan.

"Memang kecewa apabila tidak dapat menyertai Maraton London tahun lalu.

"Saya memiliki pencapaian musim panas yang hebat di atas trek dan perancangannya adalah membuat kemunculan pertama acara maraton di London," kata Eilish.

Disiarkan pada: January 31, 2023 @ 9:51am
d