Sukan Lain

Azizulhasni, Pandelela dipilih Olahragawan, Olahragawati Kebangsaan 2021

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Sejarah tercipta di Anugerah Sukan Negara (ASN) 2021 apabila jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni dipilih sebagai Olahragawan Kebangsaan sebentar tadi sekali gus menjadi atlet lelaki pertama memenangi anugerah berkenaan buat kali kelima selepas turut terpilih pada 2009, 2010, 2017 dan 2019/20.

Pelumba terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman diangkat sebagai Olahragawan Kebangsaan dua kali berturut-turut selepas mengenepikan cabaran empat calon lain termasuk juara badminton dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Buda Anchah (bina badan), Ng Eain Yow (skuasy) dan Syarifuddin Azman (permotoran).

Kejayaan pakar acara pecut berusia 35 tahun itu bersandarkan pada pencapaian meraih pingat perak dalam acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Anugerah yang diperkenalkan sejak 1966 itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil kepada pelumba kelahiran Dungun itu terbang jauh dari Melbourne, lokasi tempatnya berlatih sejak 2007.

Kejayaan Azizulhasni sedikit-sebanyak meningkatkan semangatnya untuk melakukan persiapan menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 tatkala tahun lalu dia bergelut dengan pembedahan selepas disahkan mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA) dan perlu menjalani pembedahan sekiranya mahu terus berbakti dalam sukan itu.

Azizulhasni yang turut meraih gelaran Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro kategori pempengaruh dijangka berdepan jadual padat musim ini untuk mengumpul mata melayakkan diri ke Olimpik Paris 2024.

"Syukur Alhamdulillah, saya ingin pastikan ini bukan kemenangan terakhir kerana saya mahu bersara selepas Sukan Olimpik Paris 2024. Saya masih dahagakan kejayaan dan memartabatkan sukan negara," kata Azizulhasni yang juga juara dunia pada 2017.

Sementara itu, anugerah Olahragawati Kebangsaan pula menjadi milik ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong, sekali gus menjadi gelaran keempatnya selepas memenanginya pada ASN 2011, 2012 dan 2015.

Pemilihan atlet berusia 30 tahun itu dibuat berdasarkan beberapa pencapaian pada 2021 termasuk menjadi penerjun Malaysia pertama yang merangkul pingat emas pada Kejohanan Terjun Piala Dunia di Tokyo, Jepun.

Pandelela melakar catatan bersejarah itu ketika dia memenangi acara 10 meter (m) platform individu wanita dengan mengutip 355.70 mata keseluruhan menewaskan atlet Jepun, Matsuri Arai yang memenangi perak serta Caeli McKay dari Kanada di tempat ketiga.

"Saya rasa sangat gemuruh kerana banyak sangat VIP hadir di anugerah ini. Tapi saya rasa gembira dan juga berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan kerana menganjurkan ASN 2021.

"Terima kasih juga kerana memberikan penghargaan Olahragawati 2021 kepada saya. Bukan mudah menjadi seorang atlet dan mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa," kata Pandelela.

Bagi kategori Olahragawan Paralimpik Kebangsaan pula menjadi milik Bonnie Bunyau Gustin yang meraih emas di Sukan Paralimpik Tokyo dalam acara powerlifting, manakala Brenda Anellia Larry dipilih sebagai Olahragawati Paralimpik Kebangsaan selepas mencipta impak di Pusat Akuatik Tokyo apabila mencatatkan rekod baru Asia bagi acara 50 meter (m) kuak kupu-kupu di temasya empat tahun sekali itu.

Azizulhasni, Pandelela, Bonnie dan Brenda masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 berserta trofi.

Disiarkan pada: January 31, 2023 @ 5:21pm
d