Sukan Lain

Magdalene rangkul perak lagi

Oleh Zulkarnain Azman

Putrajaya: Perenang perairan terbuka negara, Magdalene Lau terus membuktikan statusnya selaku permata baharu negara apabila menggondol pingat perak keduanya berturut-turut di Kejohanan Renang Perairan Terbuka Asia Tenggara (SEAOWSC) di Tasik Putrajaya, kali ini dalam acara 10 kilometer (km).

Anak jati Sarawak berusia 17 tahun itu berjaya mengulangi pencapaiannya dalam perlumbaan 5km semalam dengan menghabiskan saingan di tempat kedua kategori wanita 16-17 tahun dengan catatan masa dua jam 15 minit, 10.7 saat, tiga minit di belakang juara, Natwara Bovornsukseri dari Thailand (2:11:46.9s).

Lebih membanggakan, Magdalene berjaya menempatkan diri di tempat ketiga dalam senarai kedudukan keseluruhan yang merangkumi para perenang dari kategori 18-19 tahun dan 20 tahun ke atas.

"Pengalaman berlumba dalam acara 5km semalam memang banyak membantu saya hari ini. Saya beraksi jauh lebih baik berbanding semalam, namun untuk 10km, ia pastinya jauh lebih memenatkan.

"Satu lagi cabaran getir adalah bagaimana untuk menyelaras kelajuan kuakan supaya dapat kekal bersaing sepanjang tempoh perlumbaan. Jadi, saya berasa sungguh gembira untuk dapat menduduki tempat ketiga keseluruhan.

"Selepas berada di tangga keenam sesudah pusingan pertama, saya mula memperbaiki kedudukan lalu secara berperingkat sebelum membuat pecutan terakhir pada penghujung perlumbaan untuk menjadi tiga terbaik.

"SEAOWSC pasti akan meninggalkan kenangan manis untuk saya kerana inilah penampilan sulung bukan sahaja dalam arena perairan terbukan, malah antarabangsa juga," katanya yang menjadikan Michael Phelps sebagai idolanya.

Kata Magdalene lagi, dia akan mengalihkan tumpuannya kepada acara berpasukan berganti-ganti 4x1.5km dan mengharapkan satu lagi kilauan pingat untuk memberikannya satu penamat sempurna.

Dalam pada itu, Malaysia turut memungut pingat perak menerusi Chelsea Lee dalam kategori wanita 18-19 tahun dan gangsa oleh Ashley Soh dalam kategori wanita 16-17 tahun.

Sementara itu pelumba terpantas keseluruhan lelaki dan wanita iaitu Tanakrit Kittiya dan Pimpun Choopong dari Thailand menyapu bersih kesemua enam pingat emas yang dipertandingkan hari ini.

Tanakrit, yang merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Sea Manila, mengungguli kategori 20 tahun ke atas dengan catatan 1:56:59.9s manakala Pimpun pula muncul juara bagi saingan wanita dalam kategori yang sama selepas mencatat 2:09:55.4s.

"Di Thailand, renang perairan terbuka menjadi semakin popular dalam beberapa tahun kebelakangan ini, jadi ia menyumbang kepada pembangunan sukan ini di negara kami.

"Sebagai contoh pada Disember lalu, kejohanan kebangsaan kami sahaja pun menarik penyertaan lebih 100 perenang. Persatuan renang kebangsaan kami telah melakukan kerja yang baik untuk melahirkan perenang perairan terbuka yang berwibawa," kata Tanakrit.

Disiarkan pada: February 3, 2023 @ 8:04pm
d