Sukan Lain

Shereen pecah rekod 400m lagi

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Atlet wanita negara, Shereen Samson Vallabouy terus mencipta sensasi apabila memecahkan rekod 400 meter (m) dalam dewan miliknya di kejohanan jemputan Lewis, di Chicago, Illinois, Amerika Syarikat, semalam.

Shereen yang berpangkalan di Amerika Syarikat mengakhiri saingan dengan catatan masa 52.87 saat (s) sekali gus berjaya memecahkan tiga kali rekod 400m dalam tempoh kurang setahun.

Pada kejohanan terbabit gadis berasal dari Ipoh, Perak itu melakukan larian menyakinkan sebelum mengakhiri perlumbaan di tempat kedua.

Menurut Shereen, segala penat lelahnya boleh dikatakan terbayar apabila berjaya mencipta rekod baharu dalam acara 400m.

"Pengalaman yang cukup berharga apabila berjaya memecahkan rekod peribadi 53s kepada 52.87s dalam acara trek 400m," katanya.

Pada Mac tahun lalu, Shereen menjadi sebutan selepas melebur rekod kebangsaan milik Noraseela Mohd Khalid 54.58s yang dilakukan pada 2006 dengan catatan masa 53.79s.

Shereen sekali lagi mencuri tumpuan pada Mei tahun lalu apabila dia yang mewakili Universiti Winona State memadam rekod peribadi apabila mengakhiri saingan menerusi catatan masa 53.68s.

Atlet berusia 24 tahun itu adalah anak bongsu kepada bekas bintang olahraga negara, Samson Vallabouy dan Josephine Mary Singarayar.

Disiarkan pada: February 5, 2023 @ 5:43pm
d