Sukan Lain

Taekwondo sasar dua emas

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Biarpun tidak diletakkan dalam sukan teras, namun taekwondo tetap mahu menyumbang kilauan pingat buat kontinjen negara di Sukan Sea Kemboja, Mei depan.

Justeru, Setiausaha Agung Taekwondo Malaysia (TM), R Dhanaraj mahu memperbaiki pencapaian skuad taekwondo pada edisi lalu apabila menyasarkan dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa di temasya dwi tahunan itu.

"Sasaran TM adalah meraih dua emas iaitu satu daripadanya daripada disiplin poomsae dan kyorugi. Kami turut sasarkan meraih satu perak atau mungkin tiga gangsa.

"Buat masa ini, sasaran ini dianggap realistik dengan baki hanya empat bulan. Jadi kami akan fokus kepada atlet yang sudah berjaya capai beberapa kejayaan sebelum ini," katanya selepas mesyuarat jawatankuasa kerja di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Sejak digugurkan dari sukan teras, taekwondo tidak pernah terlepas untuk menghadiahkan pingat emas di Sukan Sea apabila meraih dua emas dalam dua edisi sebelum ini di Filipina 2019 dan Vietnam 2021.

Ketika ditanya mengenai atlet akan dihantar ke temasya berkenaan, Dhanaraj berkata, pihaknya sudah mempunyai senarai pendek, namun belum dimuktamadkan.

Tambahnya, sebagai persiapan menjelang Sukan Sea Kemboja, atlet yang akan mewakili negara akan menghadapi dua kejohanan selain berkampung di Korea Selatan selama enam minggu.

"Pemilihan atlet belum diputuskan kerana terdapat kejohanan kebangsaan pertengahan pada bulan ini dan di situ, kami akan lihat prestasi mereka sebelum memutuskan siapa akan ke Sukan Sea," katanya.

"Selepas itu atlet terpilih akan menyertai kejohanan pra Sukan Sea pada Mac diikuti kem latihan di Korea selama enam minggu. Pemilihan atlet dibuat dengan rapi kerana kami hanya menyertai 15 daripada 24 acara yang dipertandingkan di Kemboja," ujarnya.

Disiarkan pada: February 7, 2023 @ 4:27pm
d