Sukan Lain

Jaguh bina badan Mesir jadi pengutip sampah [METROTV]

Oleh Reuters

Gharbia, Mesir: Atlet bina badan Mesir, Ali El Sharkawi terpaksa bekerja keras menyara kehidupannya dengan bekerja sebagai pengutip sampah di waktu pagi tanpa melupakan sesi latihan di sebelah petang.

Jaguh berusia 29 tahun itu yang tinggal di Gharbia bergelut menjalani kehidupan tanpa mendapat sebarang penajaan.

Walaupun dia berjaya meraih dua pingat gangsa di kejohanan tempatan, namun masih gagal menarik perhatian penaja yang lebih berminat dengan sukan berprofil tinggi seperti bola sepak.

"Saya mahu menjadikan sukan ini sebagai karier tetapi saya tidak mempunyai pilihan pekerjaan lain selain daripada ini. Saya masih melakukannya kerana tiada kerja lain yang sesuai, jadi saya menjadi pengutip sampah untuk menyara kehidupan," kata Sharkawi.

Selepas bapanya meninggal dunia ketika dia berusia dua tahun, Sharkawi membesar bersama ibunya di pusat pungutan sampah dan dia kemudiannya turut membantu bekerja sebagai pengutip sampah.

Mendapat inspirasi juara dunia dari Mesir yang juga Mr Olympia dua kali, Mamdouh Elssbiay atau dikenali Big Ramy, Sharkawi berharap dapat mencari penaja untuk meneruskan kariernya dalam sukan bina badan.

Tetapi seperti atlet individu lain, Sharkawi sukar mencari penajaan yang sangat diharapkan.

"Ali bekerja keras dalam tugasnya dan ketika sesi latihan tetapi karier bina badan perlukan sokongan dan dana untuk membeli suplemen dan nutrisi yang diperlukan," kata jurulatih Sharkawi, Mostafa El Tamimi.

Disiarkan pada: February 7, 2023 @ 6:20pm
d