Sukan Lain

Pelumba TSG kongsi detik cemas di Turkiye

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pelumba muda Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Wan Abdul Rahman Hamdan akui berdepan detik cemas ketika kejadian gempa bumi yang berlaku di Turkiye pada pagi Isnin lalu.

Jelas pelumba meningkat naik berusia 23 tahun itu, walaupun jarak kediamannya dengan pusat kejadian gempa bumi di bandar Gaziantep sejauh kira-kira 500 kilometer (km), namun gegaran berukuran 7.8 skala Richter itu turut dirasainya.

Berikutan itu, pelumba kelahiran kampung Merbau Patah, Kuala Terengganu itu akui begitu takut selain sentiasa berdoa agar tidak berlaku kejadian tidak diingini walaupun sedar nyawanya dan rakan sepasukan terancam berikutan kejadian itu.

Bagaimanapun, dia bersama empat lagi rakan sepasukan serta dua kru bersyukur kerana selamat tanpa sebarang kecederaan dalam insiden meragut ribuan nyawa itu.

"Ketika kejadian gempa bumi yang berlaku pada pagi itu, saya sedang tidur. Ketika tersedar daripada tidur saya begitu takut kerana gegaran turut dirasai.

"Pelbagai perkara bermain dalam fikiran berdepan detik cemas itu lebih-lebih lagi gegaran itu hampir lima minit berlaku.

"Bagaimanapun saya bersama rakan sepasukan serta kru bersyukur kerana selamat tanpa sebarang kecederaan, terima kasih kepada pihak pengurus TSG yang bertindak pantas mempercepatkan proses membawa pulang kami ke Malaysia," katanya yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang semalam.

Ketika ditanya mengenai pembatalan Jelajah Antalya bertaraf 2.1 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang sepatutnya bermula 9 hingga 12 Februari susulan gempa bumi itu, pelumba itu akui kecewa.

"Pembatalan perlumbaan itu sedikit mengecewakan, sebab sebelum ni saya menyertai Jelajah Sharjah di Emiriah Arab Bersatu (UAE), pada masa sama momentum prestasi berada pada tahap terbaik.

"Lagipun ramai juga pelumba profesional bakal hadir, jadi dengan pembatalan ini begitu merugikan kerana bukan senang untuk bersaing dengan pelumba terbaik dunia, tambahan pula jelajah ini juga sebagai persiapan saya juga untuk ke Jelajah Algeria pada awal Mac depan," katanya yang terpaksa berlatih di Terengganu.

Disiarkan pada: February 9, 2023 @ 2:47pm
d