Sukan Lain

Aidil puas tewaskan 'abang senior'

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Pelari pecut meningkat naik dari Sabah, Pengiran Aidil Auf Hajam mencipta sensasi apabila berjaya memenangi pingat emas 200 meter (m) Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2023, hari ini.

Lebih menarik pada aksi yang berlansung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) atlet berusia 18 tahun itu cemerlang menamatkan larian dengan catatan masa 21.54 saat (s) menewaskan bekas pemegang rekod kebangsaan acara itu, Khairul Hafiz Jantan yang menamatkan saingan di tangga tercorot.

Tempat kedua acara itu dimenangi wakil Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jonathan Nyepa yang mencatatkan masa 21.67s manakala Kwong Kar Jun dari Wilayah Persekutuan ketiga dengan catatan 21.67s.

"Syukur alhamdulillah dengan larian tadi yang mana saya mampu bersaing dengan abang-abang senior. Banyak perkara yang saya dapat pelajari dari larian tadi.

"Mungkin umur saya masih muda tapi itu cuma sekadar angka. Saya akan cuba usaha lebih keras untuk perlumbaan yang akan datang," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlumbaan.

Sementara itu, wakil ATM, Zaidatul Husniah Zulkifli berjaya menebus kekecewaan tewas dalam acara 100m apabila mengungguli acara 200 m wanita di kejohanan itu dengan catatan masa 24.38s.

Perak acara itu dimenangi S Komalam Shally yang menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 25.02s manakala gangsa dimenangi Siti Fatimah Mohamad (25.36s) yang mana kedua-dua mereka mewakili ATM.

Disiarkan pada: February 12, 2023 @ 7:06pm
d