Sukan Lain

Sabah 'lauk' Pahang Rangers

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Persembahan bertenaga barisan pemain Pahang Rangers FC memberi kelebihan kepada mereka untuk mudah membenam Sabah 9-1 pada saingan pembukaan Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2023 di Stadium Tertutup SUKPA, malam ini.

Tuan rumah yang menggalas misi kemenangan pertama ternyata tidak perlu menunggu lama apabila gol pembukaan hadir menerusi awang import dari Iran, Amin Nasrollah Zadeh pada minit pertama menewaskan penjaga gol pelawat Mohd Azhar Aris.

Ketinggalan 0-1 ternyata tidak mematahkan semangat pemain Sabah untuk memberi tentangan, malah asakan yang dilancarkan turut mencemaskan gawang Pahang Rangers.

Buruan gol pemain tuan rumah tidak dapat disekat lagi apabila jaringan kedua muncul menerusi Alif Mat Amin pada minit ke-13 yang melakukan rembatan deras gagal tolak keluar Mohd Azhar.

Walaupun tertekan, pelawat seolah tidak mudah cemas apabila tetap melakukan percubaan untuk menguji penjaga gol Pahang Rangers, Zainulzahin Sinuan.

Kedukaan Sabah terus berlarutan apabila gol ketiga, Khaiyum Khaimi (m16 ), gol keempat oleh Hamdin Zarif Mahmun (m18) dan babak pertama berakhir menerusi gol kelima oleh Ridzwan Bakri (m19) untuk Pahang Rangers mendahului pelawat 5-0.

Bermula babak kedua, Sabah cuba bangkit tetapi Pahang Rangers yang dibimbing Gerard Casas Ullastre bijak menangkis asakan pelawat.

Zadeh melengkapkan hatrik pada minit 23 dan 32 untuk kedudukan 7-0 manakala gol ke lapan dan kesembilan disumbang oleh Ridzwan pada minit ke-34 dan ke-35. Gol tunggal pelawat pula dihasilkan oleh Sufian Kariabsan pada minit terakhir perlawanan.

Disiarkan pada: February 18, 2023 @ 10:36pm
d