Sukan Lain

Golden Boy mahu beraksi di WWE

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Ahli gusti negara Emman Azman menyimpan hasrat mengembang bakatnya ke negara eropah dengan menjadi individu pertama negara berjaya 'menembusi' syarikat gergasi gusti dunia iaitu World Wrestling Entertainment (WWE).

Emman yang turut digelar 'golden boy' berkata, dia menyimpan hasrat terbabit sejak bergelar ahli gusti profesional sekali gus menarik minat rakyat negara ini untuk turut serta berkecimpung dalam bidang itu.

Juara gusti MCW Intercommonwealth itu berkata, walaupun melihat impian terbabit sukar untuk direalisasikan berdasarkan bentuk fizikalnya yang agak kecil namun dia percaya perkara itu bukanlah masalah besar berhadapan lawan 'mat saleh' yang rata-rata berbadan besar berdasarkan kepada kejayaan dikecapi di kejohanan yang berlangsung di Australia tahun lalu.

"Perancangan saya adalah untuk menubuhkan gusti profesional sendiri di negara ini dengan segala pengalaman yang ada di Australia akan bawa ke negara ini untuk melahirkan lebih ramai bakat muda.

"Cabaran yang dihadapi boleh dikatakan agak sukar kerana dengan saiz badan yang kecil dan berhadapan pula dengan lawan daripada Australia sudah perlu bekerja keras untuk menjadi juara.

"Perancangan seterusnya adalah mahu menembusi pasaran eropah terutamanya Amerika Syarikat yang sudah pasti perlu berhadapan ramai ahli gusti profesional dalam usaha meraih kejayaan," katanya ketika ditemui di Kejohanan 'New Breed' anjuran My Pro Wrestling, malam tadi.

Sebelum ini, atlet berusia 22 tahun itu mencipta sensasi apabila diangkat sebagai juara gusti MCW Intercommonwealth tahun lepas.

Pada kejohanan itu, Emman berjaya menewaskan ahli gusti profesional Australia Mick Moretti dan Adam Brooks.

Sementara itu Pengarah My Pro Wrestling Sdn Bhd Maria Abdullah berkata, pihaknya komited melahirkan lebih ramai ahli gusti profesional negara yang berpotensi untuk meraih gelaran di peringkat antarabangsa.

"Setakat ini, My Pro Wrestling mempunyai kira-kira 50 ahli gusti terdiri daripada amatur dan profesional yang giat mengikuti latihan sebagai persediaan menyertai kejohanan di luar negara.

"Kami berharap inisiatif yang dilaksanakan ini dapat menarik lebih ramai syarikat korporat dan pihak tertentu untuk bersama menaja serta menyokong supaya sukan ini dapat diperluaskan lagi ke seluruh negara," katanya.

Disiarkan pada: February 19, 2023 @ 1:47pm
d