Sukan Lain

MOM letak harapan tinggi Belanjawan 2023

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berharap kerajaan akan memperuntukkan dana yang mencukupi buat sektor sukan pada pembentangan Belanjawan 2023 yang akan diumumkan esok.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, penetapan bajet itu sangat penting dalam memastikan program-program yang dirancang sebelum ini terutamanya membabitkan temasya sukan utama seperti Sukan Sea, Sukan Asia dan Sukan Olimpik dapat berjalan seperti yang ditetapkan.

Selain itu Norza turut berharap, kerajaan akan mempertimbangkan pemberian insentif atau merangka kaedah terbaik seperti pelepasan cukai untuk menggalakkan pihak swasta terlibat sama dalam sektor sukan sekali gus mampu meringan beban yang ditanggung kerajaan ketika ini.

"Selain pelepasan cukai, kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk memberi peluang kepada pihak swasta yang menunjukkan keprihatian kepada sukan mendapat tempat untuk mereka membangunkan negara.

"Saya percaya ini sememangnya dinanti-nantikan oleh warga sukan untuk melihat lebih banyak pihak swasta membabitkan diri dalam sektor sukan.

"Seperti yang saya selalu katakan, hari-hari yang mana sektor sukan bergantung semata-mata kepada peruntukan kerajaan sudah berakhir. Kita mahukan pihak swasta bersama menggembleng tenaga untuk menaikkan sukan negara," kata Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Dalam pada itu, nada yang sama turut diusulkan Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh yang berharap bajet untuk sukan tidak dipotong khususnya bagi memastikan program prestasi tinggi dan pembangunan sukan itu dapat dijalankan tanpa sebarang kekangan.

"Program prestasi tinggi perlu bajet yang tinggi dan bantuan daripada kerajaan yang diberikan dari dulu telah memastikan atlet dapat pendedahan yang maksimum.

"Pada masa yang sama, saya juga berharap bajet untuk Program Sukan Olimpik dapat dikekalkan sepenuhnya untuk merealisasikan impian meraih pingat emas pertama negara di temasya itu.

"Saya juga berharap kerajaan memberi peruntukan untuk membina bumbung sederhana di sekeliling Trek Velodrome Rakyat di Ipoh, Perak supaya trek berkenaan dapat dipelihara daripada elemen hujan dan panas supaya program pembangunan dapat dijalankan dengan sepenuhnya dan dapat diguna oleh negeri-negeri di sebelah Utara khususnya," katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2023 @ 5:24pm
d