Sukan Lain

KBS cuba penuhi impian NSA

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Berita baik buat Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini sedang berusaha untuk memastikan kesemua mereka mempunyai tempat latihan sendiri.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya kini sedang mengenalpasti infrastruktur sukan milik KBS yang ada di seluruh Malaysia ketika ini dan akan menyesuaikan mengikut keperluan persatuan masing-masing.

"Ketika sesi 'townhall' sebelum ini, banyak persatuan apabila kita tanya, mereka menyuarakan hasrat untuk mempunyai pusat latihan sendiri.

"Jadi, kita sedang menyenaraikan padang-padang milik KBS dan kemudian kita akan sesuaikan dengan persatuan sukan yang terbabit.

"Ini adalah usaha yang sedang kita lakukan untuk memastikan semua persatuan sukan kebangsaan mempunyai pusat latihan sendiri kalau boleh…ini supaya tempat infrastruktur sukan ini tidak dibazirkan," kata Hannah ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Liga Besbol Kebangsaan (NBL) 2023 di sini, hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Penaung Diraja Persekutuan Besbol Malaysia (BFM) yang turut diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dalam pada itu, Hannah berkata KBS akan menyalurkan peruntukan kewangan kepada BMF di atas penganjuran liga berkenaan yang julung kali diadakan di negara ini namun jumlahnya masih lagi dalam perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN).

Sementara itu, Presiden BFM, Sazali Husain, berkata seramai lapan pasukan akan beraksi dalam saingan NBL musim ini membabitkan penyertaan Perlis, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

"Sejak penubuhan BFM lebih 20 tahun yang lalu, inilah kali pertama Liga Besbol Kebangsaan diperkenalkan.

"Untuk edisi pertama kali ini, lapan pasukan negeri akan bertanding bagi dinobatkan sebagai Juara Kebangsaan yang akan membawa pulang piala pusingan dan wang tunai sebanyak RM5,000," katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2023 @ 8:26pm
d