Sukan Lain

Peruntukan kepada Yakeb tepis stigma buruk

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Peruntukan RM5 juta yang diperuntukkan kerajaan menerusi Belanjawan 2023 kepada Yayasan Kebajikan Atlet (Yakeb) dilihat mampu menepis stigma buruk berkaitan kebajikan bekas atlet di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ketika ini ramai ibu bapa yang enggan membenarkan anak mereka menceburi bidang sukan memandangkan kebajikan bekas atlet ketika ini tidak dijaga dengan sebaiknya.

Justeru dengan adanya peruntukan itu yang akan membantu kebajikan bekas atlet, Hannah berharap akan lebih ramai individu di luar sana menceburi bidang sukan sekali gus mampu memajukan lagi industri itu di negara ini.

"Selalu saya dihantar video berkenaan atlet sakit. Jual tisu dan sebagainya dan orang akan bagi gambaran seolah kerajaan tak jaga mereka.

"Jadi peruntukan kepada Yakeb itu penting supaya benda asas kita dapat salurkan kepada atlet yang memerlukan.

"Apabila kita bantu atlet ini, ia secara tidak langsung beri 'chain effect' yang mana kita mahu pastikan lebih ramai atlet masuk bidang sukan secara sepenuh masa.

"Tetapi kalau ibu bapa lihat kebajikan bekas atlet tak dijaga, ibu bapa juga takut dan tarik anak mereka keluar dari bidang itu. Jadi saya harap dengan adanya peruntukan RM5 juta, kebajikan bekas atlet lebih terurus dan kita mampu untuk jaga lebih ramai," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Kejohanan Satelit Persekutuan Skuasy Sedunia (WSF) dan Persatuan Skuasy Profesional (PSA) disini hari ini.

Dalam pada itu Hannah turut memuji penganjuran kejohanan itu yang julung kali diadakan di Malaysia yang dilihat mampu membantu atlet skuasy untuk mempamerkan bakat mereka.

Justeru beliau berharap dengan penyediaan dana geran padanan berjumlah RM50 juta yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023, diharapkan lebih banyak pihak yang terlibat bagi menganjurkan sukan-sukan lain yang akan memberi manfaat kepada atlet di negara ini.

Disiarkan pada: February 25, 2023 @ 5:31pm
d