Sukan Lain

Bukan niat Mun Yee sorok perkahwinan

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Memiliki rupa paras yang cantik, bekas atlet terjun negara, Datuk Leong Mun Yee sering menjadi tumpuan lensa kamera dan peminat sama ada di dalam atau di luar pertandingan satu ketika dahulu.

Malah, dek kerana kecantikan dan kejayaannya dalam sukan terjun yang sudah diceburinya sejak 28 tahun lalu, tidak hairan meskipun sudah bersara Mun Yee masih popular apabila mempunyai ramai pengikut di media sosial termasuk Instagram dengan lebih 183,000 pengikut yang tidak mahu terlepas mengikuti perkembangannya.

Ketika ramai sudah tahu mengenai kehidupan Mun Yee sebagai atlet, dalam diam atlet berusia 37 tahun itu sudah mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya pada pertengahan tahun lalu.

Jelas Mun Yee, bukan niatnya untuk menyorok perkahwinannya itu namun beliau tidak menghebahkan mengenai perkara baik itu kerana majlis perkahwinan itu hanya diadakan kecil-kecilan dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak dan kenalan rapat.

"Betul saya sudah berkahwin dengan pasangan saya pertengahan tahun lalu. Majlis diadakan sederhana bersama keluarga terdekat disebabkan ketika itu masih dalam fasa endemik.

"Sebenarnya rancangan berkahwin itu memang sudah lama saya fikir sejak ketika saya umumkan persaraan dan tahun lepas barulah saya putuskan untuk kahwin," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Tambah Mun Yee lagi, meskipun sudah berumah tangga, beliau tidak akan sesekali mengabaikan tugasnya sebagai seorang jurulatih untuk skuad terjun negara.

Malah katanya beliau juga akan terus menyumbang bakti kepada arena sukan terjun negara menerusi akademi terjun yang diidamkan sebelum ini dijangka siap pada April.

Disiarkan pada: March 1, 2023 @ 11:20am
d