Sukan Lain

Sapu bersih pingat emas

Oleh Muhamad Lokman Khairi

Lumut: Usia bukan penghalang kepada Pegawai Waran 1 PLM Azman Nizam Abdullah bagi menyerlahkan bakat sukan apabila dinobatkan sebagai olahragawan Kejohanan Mini Olimpik (KMO) ke-26 anjuran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Azman Nizam, 41, menyapu bersih pingat emas bagi acara 100 meter (m), 200 m, 4x100 m kategori junior veteran serta membantu pasukan diwakilinya iaitu Kontinjen Bantuan meraih tempat kedua acara bola sepak.

Pengiktirafan itu disampaikan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob semasa Upacara Penutup KMO yang berlangsung di Stadium Pangkalan TLDM Lumut, di sini, kelmarin.

Menurut bapa kepada empat anak itu, dia tidak menyangka akan mengungguli anugerah itu memandangkan masih ramai peserta bagi kategori lain yang muda dan lebih bertenaga.

"Saya menyertai acara olahraga untuk kesihatan saja namun saya aktif bola sepak dan ini memberi kelebihan dari segi stamina untuk saya berjaya dalam olahraga.

"Kepada yang berminat bersukan khususnya olahraga, perlu rajin membuat latihan dan bukan hanya bergantung kepada jurulatih semata-mata," katanya.

Gelaran olahragawati pula disandang oleh Laskar Kelas I JJM Ovella Akoi yang mewakili Kontinjen Markas Pemerintahan Armada Barat.

"Saya terkejut tetapi gembira dengan anugerah ini. Saya paling tak sangka dapat enam emas dalam acara memanah iaitu acara yang baru saya ceburi.

"Saya berharap sesiapa yang berminat sukan supaya berani untuk mencuba semua acara sukan dan jangan cepat putus asa," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, KMO sentiasa melahirkan bakat baru yang berpotensi membantu TLDM menghadapi Kejohanan Sukan Antara Perkhidmatan ATM (ISG).

"Buktinya, TLDM berjaya mengekalkan kejuaraan selama 13 tahun berturut-turut sejak 2008, sebahagian besar disumbangkan oleh atlet yang lahir daripada KMO.

"Saya berharap agar semua atlet dan seluruh the Navy People memberi sokongan kepada pembudayaan dan pembangunan sukan sebagai pentas untuk kita mengharumkan nama perkhidmatan yang kita cintai ini," katanya ketika merasmikan penutupan KMO.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali; Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md Ajis; Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Pahlawan Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy dan Panglima Pasukan Khas Laut, Laksamana Pertama Datuk Mohd Redzuan Talib.

Untuk rekod, 20 acara dipertandingkan pada KMO kali ini membabitkan 101 acara kategori lelaki dan 38 acara kategori wanita serta sejumlah 1,402 pingat ditawarkan.

Siri KMO ke-26 menyaksikan Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan muncul sebagai juara keseluruhan selepas mengetepikan tiga lagi pasukan iaitu Markas Pemerintahan Armada Barat, Markas Pemerintahan Armada Timur dan Kontinjen Bantuan.

Disiarkan pada: March 10, 2023 @ 10:32pm
d