Sukan Lain

Cabaran berliku skuad gimnastik di Kemboja

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Skuad gimnastik negara diramal berdepan laluan sukar untuk mengekalkan bilangan empat pingat emas yang dimenangi di temasya Sukan Sea Hanoi apabila turun bertanding di edisi Kemboja Mei ini.

Lebih mencabar apabila lubuk emas sukan itu yang diraih menerusi acara acara wanita tidak dipertandingkan oleh tuan rumah selain gimnas lelaki negara diramal berdepan juara dunia, Carlos Yulo dari Filipina untuk temasya dwi tahunan ini.

Bagaimanapun jurulatih gimnastik negara, Ng Shu Liang enggan mengangkat bendera putih terlebih dahulu sebaliknya memberitahu anak buahnya akan cuba memberikan aksi yang terbaik bagi menyumbang kilauan pingat buat kontinjen negara.

"Memang sangat sukar untuk acara lelaki, tambahan Chief De Mission juga telah mengatakan juara dunia dari Filipina akan menyertai saingan kali ini. Seperti kita tahu dia dah menang dua emas berturut-turut di Piala Dunia, jadi dia juga memang akan jadi pencabar yang kuat kerana tarafnya bukan lagi Asia Tenggara, tetapi sudah bertaraf dunia.

"Bagi saya, dalam sukan apa apa pun boleh jadi, kita hanya perlu buat apa yang kami rancang. Malah kita juga ada dua atlet baru yang menyertai pasukan memandangkan atlet senior sudah tidak lagi bersama pasukan.

"Atlet muda ini akan dibantu dengan empat lagi atlet senior yang berpengalaman, jadi diharapkan mereka akan melakukan sesuatu," jelasnya.

Pada edisi di Kemboja, skuad negara bakal membariskan Muhammad Sharul Aimy, Ng Chun Chen, Lukman Al Hafiz, Teoh Chuen Feng serta dua atlet muda, Ally Hamuda dan Shakir Aiman.

Disiarkan pada: March 14, 2023 @ 8:37pm
d