Sukan Lain

MS terkejut pencapaian cemerlang Andrew

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: "Saya memang sangat terkejut apabila dia (Andrew Goh) berjaya pecah rekod kebangsaan dan melayakkan diri ke Kejohanan Dunia."

Itu antara respon yang diberikan Setiausaha Agung Renang Malaysia (MS), Mae Chen berkenaan prestasi yang ditunjukkan perenang muda negara, Andrew Goh terutama ketika beraksi dalam acara kuak dada lelaki 50 meter (m).

Menurut Mae Chen, pihaknya percaya atlet berusia 17 tahun dari Selangor itu mampu untuk pergi lebih jauh dan pihaknya akan cuba mempersiapkannya menjelang Sukan Sea dan Kejohanan dunia di Fukouka Julai ini.

"Saya sangat gembira dengan pencapaiannya. Ia satu kejutan buat Andrew kerana dia berjaya melayakkan diri secara merit di Sukan Sea dan memecahkan rekod kebangsaan milik Wong Fu Kang pada 2016.

"Dengan usianya bawah 18 tahun ketika ini, saya percaya banyak lagi kejutan mampu untuk dilakukan selepas ini," katanya kepada media selepas Kejohanan Renang Terbuka Malaysia Ke-65 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil semalam.

Sebelum ini Andrew mencipta sensasi apabila memecah rekod kebangsaan acara kuak dada lelaki 50 meter (m) dengan catatan 28.10 saat (s) sekaligus memperbaharui rekod Fu Kang 28.59s pada 2016.

Disiarkan pada: March 15, 2023 @ 9:47pm
d